NEW DELHI, 25 JUN – Keluarga angkasawan India, Shubhanshu Shukla, berasa teruja hari ini apabila misi angkasa ‘Axiom Mission 4’ (Ax-4) berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy milik agensi angkasa Amerika Syarikat (NASA) dengan Shukla adalah antara kru dalam misi utama itu, lapor Xinhua.
Misi angkasa itu, yang sebelum ini beberapa kali ditangguhkan atas pelbagai sebab, dijadual menuju ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Empat angkasawan dalam Ax-4 dijangka menghabiskan kira-kira dua minggu di stesen angkasa itu.
Kru misi itu dijadual melaksanakan tugasan yang memberi tumpuan kepada penyelidikan saintifik, pendidikan, projek komersial dan demonstrasi teknologi dalam persekitaran mikrograviti di ISS.
“Bagi Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) dan Group Captain Shubhanshu Shukla, misi itu menjadi asas kepada pelan hala tuju angkasa India untuk mendaratkan seorang warga India di bulan menjelang 2040,” menurut laporan dalam talian Doordarshan News.
Shukla, Group Captain Tentera Udara India, berasal dari Lucknow, ibu negeri Uttar Pradesh di utara India. Beliau merupakan angkasawan kedua India ke angkasa lepas selepas empat dekad Wing Commander, Rakesh Sharma melakukan penerbangan ke angkasa dalam misi Soviet pada 1984. Shukla telah dikuarantin lebih sebulan bagi memastikan tahap kesihatannya stabil. Bapanya, Shambhu Dayal, melahirkan rasa gembira apabila kejayaan anaknya itu membawa kebanggaan bukan sahaja kepada Lucknow tetapi seluruh India. – Bernama
