Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Dalam usaha meningkatkan kefahaman dan kesedaran tentang pentingnya membina keluarga yang sejahtera serta membimbing keluarga dengan pendekatan yang relevan mengikut peredaran zaman, termasuk dalam aspek komunikasi dan disiplin, program khas telah diadakan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, hari ini.
Program yang bertajuk ‘Keluarga Bahagia, Harta Paling Berharga’ itu menyasarkan kepada peserta kelas bimbingan Muslimah dari seluruh negara.
Hadir selaku tetamu kehormat, isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat, diikuti dengan ceramah utama oleh Pegawai Ugama Pusat Dakwah Islamiah, Awang Mohammad Nasyith bin Superi.
Manakala bacaan doa dan zikir oleh Tenaga Pembimbing Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Setia Ali, Pekan Muara dan Masjid An-Na’im, Kampung Panchor Mengkubau, Ustazah Nurul Atiqah binti Haji Abdul Latif.
Antara lain tujuan program, untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran tentang pentingnya membina keluarga yang sejahtera.
Selain berfungsi sebagai panduan membimbing keluarga dengan pendekatan yang tepat dan relevan mengikut peredaran zaman, termasuk dalam aspek komunikasi dan disiplin.
Program khas tersebut adalah salah satu inisiatif menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan Keluarga 2023–2027 melalui Jawatankuasa Kerja Institusi Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, yang disasarkan kepada peserta Kelas Bimbingan Muslimah dari seluruh negara.

Bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Tenaga Pembimbing Kelas Bimbingan Muslimah Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Ustazah Nurul Janah binti Sahbuddin.
Program itu turut menyeru ibu bapa agar berperanan sebagai pembimbing, penasihat dan pendorong dalam membentuk sahsiah anak-anak serta memperkukuh institusi kekeluargaan.
Selain menggalakkan amalan berdoa dan berzikir sebagai usaha memperoleh keberkatan serta rahmat daripada Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.
Program seumpama ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkasa institusi keluarga, selaras dengan matlamat Pelan Tindakan Keluarga 2023–2027 dan aspirasi negara ke arah kesejahteraan ummah.
Turut hadir Ketua Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin.
Program berkenaan anjuran Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.


