Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keluarga besar 2J berhimpun

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Dalam usaha menyatupadukan nilai kekeluargaan melalui pertalian darah, kira-kira 1,000 ahli dari keluarga besar Jalak-Jaafar (2J) telah berjaya berhimpun pada Majlis Perhimpunan Keluarga 2J, bertempat di Dewan Indah Biru, Kampung Lugu, kelmarin.

    Perhimpunan keluarga yang diadakan buat kali ke-4 itu dihadiri oleh semua lapisan ahli keluarga yang bukan hanya berasal dari negara ini bahkan juga Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

    Dengan membawa tema Bersatu ke arah Kecemerlangan, perhimpunan berkenaan telah diserikan dengan beberapa persembahan yang ditampilkan sendiri oleh ahli keluarga berkenaan, antaranya menambang syair, pantun dan sebagainya.

    Selain itu, majlis turut disemarakkan dengan penyampaian penghargaan kepada ahli Keluarga 2J yang berumur 85 tahun atas jasa mereka dalam bersama-sama menyantuni hubungan kekeluargaan kerana jika tiada yang lama, tiada yang baharu.

    Dalam perkongsian ringkas kepada Media Permata, Keluarga 2J terdiri daripada Awang Jalak bin Budin dan isterinya mempunyai lapan orang anak iaitu Awang Nayan, Awang Akim, Awang Ali, Dayang Normah, Haji Budin, Dayang Lia, Haji Ujan dan Dayang Kibah.

    GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    Majlis diserikan dengan beberapa persembahan yang ditampilkan sendiri oleh ahli keluarga berkenaan. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    GAMBAR OLEH ADIB NOOR

    Manakala Awang Jaafar bin Abdullah dan isterinya mempunyai lapan orang anak iaitu Haji Ismail, Awang Mandas, Awang Nayan, Dayang Siah, Dayang Lauyah, Dayang Sitam, Dayang Tumpak dan Orang Kaya Muda Haji Hassan.

    Walaupun pada dasarnya dua nama iaitu Jalak-Jaafar tidak ada pertalian darah, namun ia disatukan melalui perkahwinan dalam kalangan keluarga besar tersebut.

    Oleh yang demikian, tersebar luaslah ahli keturunan 2J itu khasnya di negara ini dan juga negara-negara jiran.

    Dengan adanya majlis seumpamanya, Keluarga 2J turut berharap agar hubungan kekeluargaan berkenaan tetap mengalir dari semasa ke semasa setelah mengenali dan bersemuka secara lebih dekat.

    Di samping itu, perhimpunan keluarga besar berkenaan turut bertujuan untuk mendidik generasi baharu khususnya agar mengenali asal usul keturunan dan salasilah keluarga besar mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda