CHICAGO, 13 DIS – Juri memberikan hampir AS$80 juta kepada keluarga seorang kanak-kanak perempuan Chicago berusia 10 tahun yang terbunuh semasa kejadian kejar-mengejar melibatkan polis dan kemalangan pada 2020.
Bandar itu telah mengakui bertanggungjawab atas kematian Da’Karia Spicer. Satu-satunya isu untuk juri Cook County adalah ganjaran kewangan.
Peguam yang mewakili bandar Chicago berkata jumlah itu sepatutnya antara AS$12 juta dan AS$15 juta, tetapi juri memutuskan dengan bayaran AS$79.8 juta selepas mendengar hujah penutup Rabu lalu.
“Kesan daripada kejadian ini adalah dahsyat, dan keluarga Spicer kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang cerdas, berbakat serta pintar di mana dia merupakan penyeri hidup mereka,” kata peguam Patrick Salvi II.
Da’Karia adalah antara ahli keluarga yang berada dalam sebuah Honda Accord apabila kenderaan itu dilanggar oleh sebuah Mercedes yang dipandu dalam kelajuan kira-kira 90 kilometer sejam sementara dikejar oleh polis Chicago, menurut tuntutan mahkamah.
Pegawai melihat Mercedes itu memotong melalui lorong tetapi tidak mempunyai alasan munasabah mengejar kenderaan itu, dakwa peguam untuk keluarga itu.
Nahas berlaku ketika bapa Da’Karia membawanya mendapatkan komputer riba untuk pembelajaran dalam talian semasa pandemik COVID-19. – AP