BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, sebuah keluarga besar di Kampung Jerudong yang menggelar diri mereka sebagai ‘Keluarga Dagang’ telah menghulurkan sumbangan kepada lebih 25 keluarga kurang bernasib baik di Jerudong.
Sumbangan barangan keperluan makanan seperti beras, minyak masak, telur, garam, gula dan sebagainya itu telah disampaikan ke setiap rumah penerima di mana keluarga berkenaan turut meninjau kesejahteraan dan tempat tinggal mereka.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan mengekalkan hubungan rapat dalam keluarga dan sesama Muslim.
Ia juga mempromosikan semangat kejiranan di kampung berkenaan dan keprihatinan dengan membantu mereka yang memerlukan bantuan terutamanya bagi persediaan musim perayaan yang bakal tiba ini.
