Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keluarga DaMai teruskan tradisi hari lebaran

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Dalam sama-sama meraikan hari lebaran dengan jiwa penuh kesyukuran sambil mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan kemesraan sesama ahli keluarga, keluarga-keluarga besar di negara ini telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Keluarga Pengiran Haji Damit dan Pengiran Maimunah (Keluarga DaMai) adalah antara keluarga besar yang mengadakan majlis seumpamanya di Dubai Hall, Airport Mall, baru-baru ini.

    Bertemakan Raya DaMai bersama Indung-indung Patuan, acara tahunan yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh keluarga berkenaan dihasratkan untuk mengenali lebih erat sanak saudara yang jauh mahu pun yang dekat.

    Majlis diisikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan terjemahannya, tahlil dan Doa Arwah serta Doa Selamat. Wakil Keluarga DaMai, Pengiran Haji Alit dalam ucapannya merakamkan kesyukuran atas rezeki sambutan perhimpunan keluarga besar berkenaan yang telah diadakan sejak 2011 sehingga sekarang, kecuali dua tahun semasa pandemik COVID melanda.

    “Kesungguhan semangat kekeluargaan, kekitaan dan keakraban dalam kalangan Keluarga DaMai yang diamalkan ini secara tidak langsung melahirkan sikap bergotong-royong, bekerjasama, saling hormat-menghormati, bertolak ansur dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti keluarga,” ujarnya.

    Dalam pada itu, majlis turut menyaksikan sesi penyampaian cenderahati yang diberikan oleh Pengiran Tejudin kepada para perindungan selaku tetamu khas sebagai tanda penghargaan dan kenangan daripada Keluarga DaMai.

    Sambil menikmati juadah, majlis turut disemarakkan dengan persembahan-persembahan menarik seperti dendangan lagu-lagu raya dan pantun daripada ahli-ahli keluarga tersebut. Pemberian duit raya kepada kanak-kanak juga tidak ketinggalan menjadi penyeri sebelum sesi bergambar ramai.

    Gambar ramai Keluarga DaMai di Dubai Hall, Airport Mall, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda