Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Buat julung kalinya, Premier Automobile Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kenderaan jenama Wuling di negara ini telah mengadakan Hari Keluarga Wuling yang bermula di bilik pamerannya di Beribi, pagi tadi.
Hari keluarga berkenaan diisikan dengan acara Scavenger Hunt yang disertai oleh 110 orang peserta terdiri daripada pemilik kereta Wuling bagi memenangi hadiah utama berupa wang tunai $300.
Acara pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Pengurus Pemasaran Premier Automobile, Mark Paren yang menyaksikan sebanyak 25 buah kereta menuju ke lokasi yang ditetapkan melalui petunjuk dan teka-teki, untuk mendapatkan setem marsyal sebelum menuju ke lokasi seterusnya.
Di beberapa lokasi checkpoint, para peserta juga perlu melakukan pelbagai aktiviti termasuklah sekatan sebelum diberi kunci kepada petunjuk seterusnya. Antara aktiviti berkenaan ialah permainan tradisi Brunei seperti Simban, Kasut Tempurung dan Lompat Tali.
Dengan menggunakan kenderaan Wuling, para peserta perlu menamatkan perlumbaan yang melibatkan beberapa kawasan termasuklah di Kiulap dan Gadong sebelum menuju ke checkpoint terakhir di Batu Bersurat di mana garisan penamat ditempatkan.
Keluarga Dayang Khairunnisa menjadi yang pertama berjaya sampai ke garisan penamat sekali gus membawa pulang wang tunai $300 manakala pemenang kedua dan ketiga masing-masing memenangi $200 dan $100.
Sementara itu pemenang di tempat keempat dan kelima menerima hadiah sagu hati berupa Baucar Ponies Adventure bernilai $80 setiap satu.
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Premier Automobile Sdn Bhd, Teng Chee How yang turut berkesudian menyampaikan baju polo Wuling sebagai cenderahati kepada semua peserta.
Acara tersebut merupakan tanda penghargaan dan terima kasih Premier Automobile Sdn Bhd atas kesetiaan dan sokongan pelanggan selama ini.