Monday, March 31, 2025
31.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keluarga diraja Jepun akan buka akaun YouTube

    TOKYO, 28 MAC – Keluarga diraja Jepun yang bersejarah akan membuka akaun YouTube minggu depan, menurut kerajaan hari ini, dalam usaha terbaru monarki tradisional itu untuk berhubung dengan orang ramai.

    Tahun lalu, keluarga diraja Jepun membuat kemunculan pertama di media sosial melalui Instagram, yang kini mempunyai hampir dua juta pengikut.

    Menerusi akaun tersebut, mereka berkongsi gambar Maharaja Naruhito, Maharani Masako dan keluarga mereka bertemu pemimpin asing, melawat mangsa bencana alam, serta melihat pameran seni.

    Bermula Selasa nanti, keluarga diraja akan turut menerbitkan video di YouTube, kata seorang jurucakap Imperial Household Agency kepada AFP.

    Maharaja Naruhito, 65, menaiki Takhta Kekwa pada tahun 2019 selepas bapanya menjadi maharaja pertama yang turun takhta dalam tempoh lebih dua abad.

    Monarki Jepun tidak mempunyai kuasa politik mengikut perlembagaan pasca perang negara itu, tetapi berperanan sebagai tokoh simbolik.

    Walaupun keluarga diraja masih dihormati dan disayangi, terutamanya oleh golongan warga emas, mereka berdepan tekanan tinggi untuk mengekalkan imej sempurna dan kadangkala menjadi sasaran kritikan dalam talian.

    Tahun lalu, adik maharaja, Putera Akishino, mendedahkan bahawa keluarganya telah menerima mesej bernada ‘buli’.

    Anaknya, Puteri Mako, pernah menjadi tumpuan apabila perkahwinannya dengan teman lelaki kolej pada 2021 menimbulkan kontroversi akibat laporan mengenai masalah kewangan ibu mertuanya, yang dianggap mencemarkan imej keluarga diraja.

    Pasangan itu memilih untuk tidak mengadakan majlis perkahwinan rasmi dan meninggalkan Jepun untuk menetap di Amerika Syarikat. – AFP

    Rakyat mengibarkan bendera Jepun sebagai ucapan tahniah semasa sambutan ulang tahun Maharaja Jepun yang ke-65 pada 23 Februari 2024 di kawasan Imperial Palace, Tokyo. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda