Tuesday, December 17, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keluarga hidup dalam ketakutan diganggu along

    IPOH, 16 DIS – Sebuah keluarga hidup dalam ketakutan selepas diugut oleh pemberi pinjaman wang haram atau along walaupun telah membayar kesemua wang yang dipinjam daripada pihak terbabit.

    Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Chin, 42, mendakwa dia serta keluarganya menerima ugutan sejak November lepas apabila anak lelakinya yang berusia 20 tahun membuat pinjaman secara dalam talian daripada along tersebut sebanyak SGD3,000 (RM9,924) namun hanya menerima SGD500 (RM1,623) sahaja.

    Chin mendakwa anak lelakinya yang bekerja di Singapura telah bertindak memulangkan semula wang yang diterimanya kepada along terbabit apabila diminta membayar wang sebanyak SGD700 kononnya sebagai bayaran proses permohonan.

    “Anak saya ingat kes itu telah selesai apabila sudah pulangkan wang sebanyak SGD500 dan telah menyekat nombor telefon along tersebut namun beberapa hari selepas itu saya menerima ugutan daripada pihak along kerana mereka (along) mempunyai nombor telefon saya semasa anak lelaki saya membuat permohonan pinjaman itu.

    “Along itu terus membuat pelbagai jenis ugutan dengan meminta wang sehingga RM31,200 dan kami sudah membayar wang yang diminta along kerana tidak mahu diganggu lagi,” katanya pada sidang media mengenai kes berkenaan di Wisma MCA Perak di sini hari ini.

    Chin mendakwa rumahnya di Gopeng telah dilontar bom petrol atau ‘molotov cocktail’ pada 15 November lalu sehingga menyebabkan kerosakan sebuah kereta milik suaminya.

    “Along sekali lagi melakukan perbuatan khianat di rumah saya dengan melontar molotov cocktail pada 12 Disember lalu. Kejadian itu turut menyebabkan dua buah rumah jiran saya terbakar dan merosakkan empat buah kenderaan.

    “Kami sudah membuat laporan polis mengenai kes ini kerana bimbang dengan keselamatan keluarga,” katanya. – Bernama

    Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Charles Yuen (kiri) menunjukkan video didakwa along melontar bom petrol atau ‘molotov cocktail’ di kediaman di Gopeng pada 15 November. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda