Keluarga ingati mangsa nahas Sriwijaya Air

JAKARTA, 22 JAN – Sanak-saudara 62 orang yang terbunuh apabila sebuah pesawat penumpang Indonesia terhempas ke laut, menaburkan bunga di tapak nahas hari ini, ketika penyiasat masih mencari petunjuk kenapa pesawat itu menjunam ke laut sejurus berlepas.

Majlis memorial itu dibuat ketika pencarian bagi jasad manusia dan serpihan pesawat ditamatkan dua minggu selepas pesawat Sriwijaya Air Boeing 737-500 menjunam kira-kira 10,000 kaki dalam kurang seminit sebelum terhempas ke dalam perairan Jakarta.

Walau bagaimanapun, pencarian bagi perakam suara kokpit yang masih hilang diteruskan, ketika penyiasat meneliti butiran daripada perakam data penerbangan yang ditemui – digelar kotak hitam yang boleh jadi penting kepada siasatan.

Daftar penyelenggaraan menunjukkan terdapat masalah dengan pendikit automatik pesawat, yang mengawal kuasa enjin, menurut pihak berkuasa, namun tidak jelas apa peranan – jika ada – bagi kerosakan tersebut dengan nahas. Hari ini, berpuluh-puluh sanak saudara menabur kelopak bunga merah dari dek sebuah kapal tentera laut, sebahagiannya tewas dek emosi sedih.

“Apabila saya menabur bunga, saya seakan ternampak wajah kakak saya di permukaan air,” kata Heri Purnomo, yang kakaknya, Agus Minardi dan suaminya adalah mangsa nahas.

“Saya menangis…ia saat sangat sedih,” katanya. – AFP

Keluarga mangsa nahas Sriwijaya Air menabur bunga ke lautan di tapak terhempasnya pesawat malang itu. – AP