Wednesday, December 25, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keluarga jutawan India pisahkan konglomerat berusia 127 tahun

    NEW DELHI, 1 MEI – Keluarga Godrej di India, antara keluarga perniagaan terkaya dan terkenal, telah bersetuju untuk memisahkan konglomerat Godrej berusia 127 tahun yang aktivitinya merangkumi pelbagai barangan pengguna dan perindustrian.

    Keluarga itu mengumumkan penjajaran semula pemilikan pegangan saham mereka dalam syarikat yang berpangkalan di Mumbai itu dalam kenyataan kelmarin.

    Satu set perniagaan akan berada di bawah Adi Godrej, 82, dan adiknya Nadir, 73, manakala satu lagi akan dipegang oleh keluarga sepupu mereka Jamshyd Godrej, 75, dan Smita Godrej Crishna, 74.

    Godrej Enterprises Group (GEG), yang terdiri daripada syarikat utama Godrej & Boyce (G&B) dan sekutunya, akan dikawal oleh Jamshyd sebagai pengerusi dan pengarah urusan, anak perempuan Smita Nyrika Holkar sebagai pengarah eksekutif dan keluarga terdekat mereka.

    Kepentingan perniagaan mereka meliputi aeroangkasa, pertahanan, enjin dan motor, tenaga, bahan binaan, pembinaan, peralatan penjagaan kesihatan, produk tahan lama, perabot, reka bentuk dalaman dan teknologi maklumat.

    Godrej Industries Group (GIG) yang termasuk syarikat tersenarai, akan dikawal oleh Adi, Nadir dan keluarga terdekat mereka. Nadir akan menjadi pengerusi GIG dan anak lelaki Adi, Pirojsha Godrej, naib pengerusi eksekutifnya. Pirojsha akan menggantikan Nadir sebagai ketua kumpulan pada Ogos 2026.

    Syarikat GIG termasuk Godrej Industries, Godrej Consumer Products, Godrej Properties, Godrej Agrovet dan Astec Lifesciences.

    “Penjajaran semula itu dicapai dengan cara yang penuh hormat dan prihatin untuk mengekalkan keharmonian dan menyelaraskan pemilikan dengan lebih baik dalam mengiktiraf visi berbeza ahli keluarga Godrej.

    Ini akan membantu memaksimumkan hala tuju strategik, fokus, ketangkasan dan akan mempercepatkan proses mewujudkan nilai jangka panjang bagi pemegang saham dan semua pihak berkepentingan lain,” kata keluarga itu. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda