BANDLI, PAKISTAN, 21 JUN – Kampung Bandli di Pakistan diselubungi kesedihan, ketika penduduk menerima berita bahawa seramai 24 pemuda tempatan dikhuatiri lemas dalam tragedi bot pendatang di Greece minggu lalu.
Kampung itu, yang menempatkan kira-kira 15,000, sedang berkabung apabila ahli keluarga menyerahkan sampel DNA untuk mengenal pasti mayat antara 82 mangsa yang ditemui daripada kapal karam Rabu lalu di Laut Ionia.
Penduduk datang berziarah dan pergi dari rumah keluarga yang sedang dilanda kesedihan, terletak kira-kira 95 kilometer (60 batu) di tenggara Islamabad, wilayah Kashmir yang diperintah oleh Pakistan.
Ibu bapa terduduk tidak bermaya di tepi jalan dan solat jenazah belum diadakan, kerana harapan yang sangat tipis masih tersisa.
Shahnaz Bibi berkata, dia bercakap dengan anaknya, Inaam Shafaat, 20, melalui telefon sehari sebelum bot pukat tunda yang penuh sesak dan berkarat itu berlayar dari Libya ke perairan Mediterranean di laluan pendatang maut di dunia.
“Pada waktu malam dia memberitahu saya bahawa cuaca tidak cerah. Saya memberitahunya supaya tidak menaiki bot, tetapi dia tidak mahu mendengar kata-kata saya,” kata Bibi, 50an, yang sedang menjalani pengambilan sampel DNAnya di hospital tempatan.
“Dia berkata, ‘Ibu saya tinggalkan kamu dalam perlindungan Allah. Doakan saya’,” katanya kepada AFP, suaranya serak kerana menangis sambil mengesat air mata dengan selendangnya.
Pihak berkuasa di Eropah masih tidak mengetahui dengan jelas berapa ramai orang yang berada di atas bot itu ketika ia tenggelam. – AFP
