ISLAMABAD, 23 JUN – Keluarga bapa dan anak lelaki Britain-Pakistan antara lima orang yang maut dalam kapal selam pelancong Titan melahirkan kesedihan yang mendalam atas kehilangan mereka hari ini.
Shahzada Dawood, 48, dan anaknya Suleman, 19, merupakan ahli dinasti Dawood, pemilik sebuah empayar perindustrian yang menguntungkan di Pakistan.
“Dengan kesedihan yang mendalam, kami mengumumkan pemergian Shahzada dan Suleman Dawood,” kata satu kenyataan dari Yayasan Dawood, sebuah badan amal pendidikan yang dikendalikan oleh keluarga tersebut.
“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga penumpang lain dalam kapal selam Titan,” menurut kenyataan yang ditandatangani oleh Hussain dan Kulsum Dawood, ibu bapa Shahzada.
“Kami sangat berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi menyelamat. Usaha gigih mereka merupakan sumber kekuatan bagi kami pada masa ini.”

Hussain Dawood merupakan salah seorang lelaki terkaya di Pakistan dan ketua Perbadanan Engro yang menceburi perniagaan dalam industri bidang tenaga, pertanian, petrokimia dan telekomunikasi.
Pada akhir tahun 2022, firma tersebut mencatatkan pendapatan sebanyak 350 bilion rupee (AS$1.2 bilion).
Dalam satu kenyataan, Engro me-ngungkapkan duka cita mendalam atas pemergian Shahzada yang berkhidmat sebagai naib pengerusi dan “anak tercintanya Suleman dengan hati yang berat dan kesedihan yang mendalam.
“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan sekerja, rakan-rakan, dan semua orang di seluruh dunia yang bersedih atas kehilangan yang tidak dapat dibayangkan ini.”
Shahzada juga berkhidmat sebagai pemegang amanah Institut Search for Extraterrestrial Intelligence (SETI) berpangkalan di California, yang mencari bukti kehidupan makhluk asing. – AFP

