AHMEDABAD, 15 JUN – Keluarga mangsa yang sedang berkabung dijangka mengadakan upacara pengebumian di India hari ini, susulan tragedi udara yang meragut kira-kira 279 nyawa akibat nahas pesawat paling buruk di dunia dalam beberapa dekad terakhir.
Pegawai kesihatan telah mula menyerahkan mayat penumpang yang telah dikenal pasti melalui ujian DNA dan dihantar menggunakan keranda putih di bandar barat Ahmedabad.
Hanya seorang yang terselamat daripada 242 penumpang dan anak kapal di dalam pesawat Air India yang terhempas pada Khamis di kawasan perumahan di Ahmedabad, mengakibatkan kira-kira 38 orang maut di kawasan darat.
Seorang saudara mangsa yang tidak mahu dikenali memberitahu AFP, mereka telah diarahkan supaya tidak membuka keranda apabila menerimanya.
Saksi melaporkan melihat mayat yang terbakar teruk dan serpihan berselerak.

Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner itu tela meletup menjadi bola api selepas berlepas sebelum terhempas merempuh bangunan yang digunakan oleh kakitangan perubatan.
Keluarga yang berkabung memberikan sampel DNA untuk mengenal pasti penumpang dan setakat hari ini, seramai 31 mayat telah dikenal pasti.
Pihak berkuasa India masih belum mendedahkan punca bencana dan telah memerintahkan pemeriksaan pesawat Dreamliner milik Air India.
Menteri Penerbangan, Ram Mohan Naidu Kinjarapu berkata kelmarin, beliau berharap rekod data kotak hitam yang ditemui dapat ‘memberikan pandangan mendalam’ tentang apa yang berlaku.
Hanya seorang individu yang terselamat dalam kejadian nahas itu, iaitu seorang warga Britain, Vishwash Kumar Ramesh, yang mana abangnya juga berada dalam penerbangan tersebut.
Air India turut memaklumkan terdapat 169 penumpang India, 53 British, tujuh Portugis dan seorang Kanada serta 12 anak kapal dalam penerbangan itu. – AFP