SEOUL, 14 MEI – Keluarga mangsa nahas pesawat yang menggemparkan Korea Selatan pada Disember lalu telah memfailkan adu-an terhadap 15 individu termasuk Menteri Pengangkutan dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan yang dipercayai bertanggungjawab atas tragedi yang meragut nyawa semua penumpang kecuali dua daripada 181 orang di dalam pesawat tersebut.
Pihak polis dan pegawai kerajaan telah pun menjalankan siasatan terhadap nahas pesawat Jeju Air itu, namun aduan yang difailkan tersebut dilihat sebagai langkah simbolik bagi mendesak siasatan yang lebih pantas dan menyeluruh.
Ramai ahli keluarga mangsa menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap apa yang dianggap mereka sebagai kekurangan kemajuan bermakna dalam usaha mengenal pasti punca sebenar nahas dan pihak yang bertanggungjawab.
Kelmarin, seramai 72 waris mangsa telah menyerahkan aduan tersebut kepada Agensi Polis Wilayah Jeonnam di selatan Korea Selatan, menurut peguam mereka dan pihak polis.
Individu yang dinamakan dalam aduan termasuk Menteri Pengangkutan, Presiden Jeju Air dan pegawai syarikat penerbangan yang mengendalikan penyelenggaraan dan keselamatan, serta pegawai di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan yang bertanggungjawab pencegahan pelanggaran burung, kawalan trafik udara dan pengurusan fasiliti, menurut kenyataan daripada kumpulan peguam yang mewakili keluarga mangsa.
“Empat bulan selepas tragedi berlaku, kami tidak dapat menahan perasaan marah dan putus asa kerana siasatan ini masih belum menunjukkan sebarang kemajuan,” kata Kim Dae-hye, salah seorang waris mangsa dalam kenyataan tersebut.
Peguam Lee So-Ah hari ini berkata aduan itu secara rasmi mewajibkan pihak polis memaklumkan perkembangan siasatan kepada keluarga mangsa, walaupun sebelum ini mereka hanya berbuat demikian secara sukarela.
Pesawat Boeing 737-800 yang dikendalikan oleh Jeju Air tergelincir dari landasan di Lapangan Terbang Muan pada 29 Disember 2024 selepas roda pendaratannya gagal dibuka, lalu merempuh struktur konkrit dan terbakar.
Pegawai Agensi Polis Wilayah Jeonnam memaklumkan siasatan masih diteruskan. Mereka menjelaskan bahawa insiden yang kompleks seperti nahas Jeju Air memerlukan tempoh siasatan yang panjang namun enggan menyatakan bila siasatan dijangka akan selesai. – AP
