WASHINGTON, 2 MAC – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden bakal membenarkan keluarga migran yang terpisah bersatu semula di AS, kata Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Alejandro Mayorkas semalam.
Keluarga migran itu terpisah di sempadan AS-Mexico ketika pentadbiran bekas Presiden Donald Trump mengenakan dasar imigresen yang ketat terhadap golongan pendatang.
“Kami berharap dapat menyatukan kembali keluarga itu di sini atau di negara asal mereka. Kami berharap dapat memberikan pilihan kepada mereka dan jika mereka mahu bersatu dengan keluarga di AS, kami akan membantu untuk membolehkan mereka tinggal di AS secara sah dan memenuhi keperluan keluarga.
“Pentadbiran sebelum ini telah meruntuhkan sistem imigrasi negara kita secara keseluruhan,” kata Mayorkas dalam taklimat Rumah Putih, lapor agensi berita Xinhua.
Bagaimanapun, Mayorkas menambah pendatang tidak dibenarkan datang ke AS sekarang kerana sekatan perjalanan COVID-19 masih berlangsung dan jabatannya belum selesai membina semula program suaka dan kemanusiaan. – Bernama