Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Lapan buah keluarga mualaf di Daerah Brunei dan Muara telah menerima bantuan berupa makanan asasi bagi menampung keperluan harian dalam Projek Fathul Barakah 4.0, hari ini.
Projek dianjurkan oleh Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama persatuan-persatuan mualaf seluruh negara.
Hadir selaku ketua rombongan dan seterusnya menyempurnakan penyerahan di rumah-rumah penerima di Mukim Kilanas ialah Pemangku Penolong Pengarah PDI, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman.
Turut hadir ialah Ketua Bahagian Pembangunan Mualaf, Dr Hajah Rohanita binti Haji Yaakub dan Yang Dipertua Persatuan Nurul Islam (PNI), Haji Mohd Hazwan bin Abdullah.
Projek berkenaan merupakan satu dakwah bil mal yang berkesan bagi memeduli dan memantau perkembangan kehidupan serta kebajikan asnaf mualaf.
Antara lain tujuannya adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara mualaf dengan PDI dalam sama-sama mengungkayahkan kerja-kerja berkebajikan untuk kesejahteraan mualaf khususnya di Negara Brunei Darussalam.
Bantuan-bantuan yang diberikan juga bertujuan agar para mualaf dapat melaksanakan ibadah puasa dengan selesa di samping menjalani kehidupan seharian.



