Wednesday, July 23, 2025
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keluarga nahas Jeju Air kritik laporan kemalangan

    SEOUL, 22 JULAI – Keluarga mangsa nahas pesawat terhempas di Korea Selatan mengkritik laporan kerajaan yang menyalahkan bencana itu atas kesilapan juruterbang, kata seorang wakil kepada AFP hari ini.

    Boeing 737-800 itu terbang dari Thailand ke barat daya Korea Selatan pada 29 Disember tahun lalu tetapi akhirnya mendarat di lapangan terbang Muan dan meletup selepas merempuh penghalang konkrit, membunuh 179 orang.

    Kementerian Tanah Korea Selatan berkata kepada AFP ia telah merancang untuk mengeluarkan sebahagian penemuan siasatan ke atas nahas itu pada hujung minggu tetapi membatalkan taklimat dan menarik balik laporan itu selepas keluarga membantah, mendakwa ia boleh mengelirukan.

    Laporan itu berkata serangan burung merosakkan enjin kanan pesawat tetapi juruterbang sebaliknya tersilap dengan menutup enjin kiri, beritahu wakil keluarga, yang melihat laporan itu, kepada AFP.

    Kesilapan itu mengakibatkan kehilangan kuasa keseluruhan dan kegagalan sistem gear pendaratan, kata mereka.

    Juruterbang itu berkata, “Matikan enjin nombor 2 (enjin kanan),” tetapi perakam data penerbangan menunjukkan bahawa sebenarnya enjin kiri yang dimatikan, menurut laporan itu.

    “Tiada sesiapa pun secara langsung melihat atau mendengar perakam suara kokpit atau perakam data penerbangan,” beritahu Kim Youn-mi, wakil keluarga mangsa kepada AFP.

    “Kami tidak diberi penjelasan yang sewajarnya tentang perkara itu. Kami perlu mendengarnya untuk mendapat tahu. Kami berhak,” tambahnya.

    Kesatuan juruterbang Jeju Air juga mengkritik laporan itu, mengatakan ia kesal dengan penemuan itu dan menolak percubaan berniat jahat untuk mengalihkan kesalahan kepada juruterbang. – AFP

    Gambar fail bertarikh 30 Disember 2024 menunjukkan pesawat siri Boeing 737-800 Jeju Air terhempas dan terbakar di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di Muan, barat daya Seoul. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda