Saturday, May 10, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keluarga nelayan terima sumbangan

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 30 Mac – Dalam usaha untuk meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan, Jabatan Daerah Belait bersama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) cawangan Belait, Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei Daerah Belait dan Unit Kemajuan Mualaf dari Pusat Dakwah Islamiah (PDI) Bandar Seri Begawan telah menyerahkan bantuan berbentuk keperluan asasi kepada sebuah keluarga di Kampung Sungai Mau Labi, di sini, hari ini.

    Penerima bantuan tersebut, Chong Geok Paw, 57, merupakan seorang nelayan yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap dan menanggung isterinya, Dayang Apong binti Munan dan enam orang anak serta lima orang cucu.

    Hadir menyempurnakan penyampaian sumbangan tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Mohd Zamree bin Haji Junaidi.

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin; Pemangku Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Awang Mohd Aliyani bin Ismail; Ketua Cawangan JAPEM Daerah Belait, Dayang Noridah binti Haji Ishak dan Pemangku Ketua Kampung Bukit Sawat, Awang Mohammad bin Abdullah.

    Gambar ramai bersama keluarga tersebut selepas sumbangan disampaikan oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait.

    Sumbangan yang disampaikan merupakan hasil kutipan derma daripada orang awam dan syarikat swasta kepada Tabung Amal Daerah Belait.

    Tabung tersebut juga aktif digunakan bagi membantu golongan masyarakat yang memerlukan dari semasa ke semasa termasuk bantuan kepada keluarga yang ditimpa bencana kebakaran rumah, tanah susur dan sebagainya.

    Tabung Amal Daerah Belait dari semasa ke semasa menerima sumbangan berupa wang tunai daripada syarikat-syarikat, persatuan dan orang ramai yang bermurah hati untuk sama-sama membantu keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan terutama sekali mereka yang susah dan daif.

    Keluarga Chong Geok Paw juga menerima bantuan berupa makanan asasi yang disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait bagi JAPEM Daerah Belait.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda