Bekas penyampai radio Kieran memberitahu keluarga merupakan tulang belakang yang membuatkan dia terus kuat dan tabah menghadapi ujian hidup selepas disahkan menghidap kanser prostat.
Kata Kieran atau Maskiran Jakiran, 49, keadaannya masih lemah dan dia sedang berusaha keras menaikkan berat badan.
“Lepas disahkan hidap kanser tu saya sangat tertekan sampai fikir nak mati sahaja. Tapi bila doktor kata boleh usaha untuk pulih lega sikit, perlahan-lahan semangat tu datang balik untuk lawan kanser ini demi keluarga.
“Sudah tentulah keluarga sumber kekuatan saya. Ibu, isteri dan tiga orang anak lelaki saya. Saya nak melihat anak-anak membesar.
“Sekarang saya memang tengah dalam keadaan yang lemau, lemah dan perlu kerja keras untuk naikkan berat badan,” katanya ketika dihubungi mStar.
Dalam pada itu, Kieran memberitahu kemungkinan niatnya untuk menunaikan ibadah umrah atau haji menjadi asbab Allah SWT memanjangkan hayatnya.
“Saya juga ada beberapa perkara yang masih belum sempat dibuat. Sebagai contoh macam niat nak kerjakan umrah sekali lagi dan yang lebih utama ibadah haji.
“Allah mungkin bagi saya peluang lagi untuk capai niat yang saya ada ini insya-Allah,” jelasnya.
Sementara itu, Kieran berkata dia juga tidak akan menerima sebarang tawaran kerja selagi dirinya belum benar-benar pulih.
“Dari segi kerja mencari rezeki tu dah tiga bulan tak buat apa-apa kerja. Mungkin akan berterusan lagi untuk 6 bulan lagi rasanya,” ujarnya.
Sebelum ini, Kieran dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas disahkan menghidap kanser prostat.
Difahamkan kanser tersebut sudah mula merebak ke bahagian perut dan paru-paru.
Kieran juga selesai menjalani sesi kemoterapi pertama sebagai salah satu alternatif merawat kanser yang dihidapi. – Agensi