SINGAPURA, 23 APRIL – Keluarga seorang lelaki Singapura yang akan dihukum gantung minggu depan atas kesalahan memiliki sekilogram ganja telah memohon pengampunan daripada pihak berkuasa hari ini dan menggesa perbicaraan semula dijalankan.
Tangaraju Suppiah, 46, dijatuhi hukuman mati pada 2018 kerana bersubahat menyeludup dadah dan Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman berkenaan yang dijadual dijalankan pada Rabu.
“Kami tidak fikir abang mendapat perbicaraan yang adil… saya percaya presiden akan membaca semua petisyen kami.
“Sejak muda, dia baik, disenangi semua orang dan tidak pernah berbuat jahat kepada sesiapa… dia berkorban segala-galanya untuk membantu keluarga,” kata kakaknya, Leelavathy Suppiah memberitahu pemberita semasa sidang akhbar.
Ia akan menjadi hukuman mati pertama dilaksanakan di Singapura dalam tempoh enam bulan.
Tangaraju disabitkan bersalah pada 2017 kerana ‘bersubahat dengan terbabit dalam konspirasi untuk mengedar’ 1,017.9 gram ganja, dua kali ganda jumlah minimum yang patut dikenakan hukuman mati di bawah undang-undang dadah yang ketat di negara itu.
Pihak ahli keluarga, saudara mara dan rakan menandatangani rayuan berkenaan pada sidang akhbar itu dan kumpulan aktivis berkata, mereka akan menghantar petisyen itu ke pejabat presiden. – AFP


