Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keluarga terpilih KTK 2023 mula temu duga

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Sokongan dan kerjasama semua ketua isi rumah yang terpilih untuk ditemu duga Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2023 bermula 16 Oktober hingga 12 November ini, dalam memberikan maklumat yang tepat dan lengkap adalah sangat diharapkan bagi sama-sama menjayakan kajian tersebut.

    Justeru itu, keluarga yang berkenaan diseru untuk memberi kerjasama menyediakan awal maklumat yang diperlukan seperti nombor kad pengenalan setiap ahli isi rumah serta maklumat lain termasuk pendidikan, pekerjaan dan sebagainya bagi melancarkan proses tersebut.

    Dalam pada itu juga, Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi turut menasihatkan keluarga yang terpilih agar memastikan pegawai-pegawai kajian menemu duga adalah pegawai yang dilantik oleh JPES melalui pas kajian rasmi, surat lantikan dan kad pengenalan mereka serta ves rasmi JPES.

    JPES dalam kenyataannya hari ini turut memaklumkan dalam memudahkan proses temu duga ianya akan dilaksanakan menggunakan kaedah Computer Assisted Personal Interview (CAPI), di mana pegawai kajian menggunakan tablet bagi menjalankan temu duga bersemuka dengan keluarga terpilih.

    KTK 2023 melibatkan kira-kira 3,200 buah keluarga terpilih sahaja di seluruh negara.
    Hasil yang diperoleh melalui KTK 2023 adalah sumber maklumat yang penting bagi kegunaan perancangan sosioekonomi negara, akademia, penyelidik, penuntut dan orang ramai bagi keperluan dan kegunaan masing-masing.

    KTK 2023 dijalankan di bawah Akta Perangkaan, Penggal 81 dari Undang-undang Negara Brunei Darussalam.

    JPES turut memberi jaminan kepada semua keluarga atau isi rumah terpilih yang mengambil bahagian dalam kajian ini bahawa maklumat yang dikumpulkan akan disimpan sulit dan akan digunakan bagi keperluan perangkaan sahaja.

    Bagaimanapun, kegagalan atau keengganan untuk memberikan maklumat yang diperlukan atau memberikan maklumat palsu adalah menjadi satu kesalahan yang membawa hukuman denda sebanyak $4,000, menurut Seksyen 9 Akta Perangkaan.

    Sebarang pertanyaan mengenai KTK 2023, bolehlah rujuk ke JPES di talian 7469844 semasa waktu pejabat, e-mel info.statistics@jpes.gov.bn atau layari laman deps.mofe.gov.bn.

    Pegawai kajian menemu duga salah seorang ketua keluarga semasa KTK 2023. – Gambar serahan JPES
    Proses temu duga menggunakan CAPI. – Gambar serahan JPES

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda