Monday, October 7, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keluarga teruskan tradisi manisan Beirut

    BEIRUT – Di sebuah kedai kecil yang terletak di kawasan sibuk dan padat di Beirut, Hasan El-Makary sedang menimbang bekas berisi mufataka yang masih panas dan berbau harum, sejenis pencuci mulut tradisional yang jarang ditemui di kedai-kedai lain di ibu negara Lubnan.

    “Saya sudah berada di kedai ini selama 50 tahun, tetapi kami mula mengkhusus dalam pembuatan mufataka sejak 30 tahun lalu,” kata Makary, 73, dari kedainya yang serba sederhana dengan hiasan lama dan siling rendah.

    Mufataka, sejenis puding nasi yang dibuat dengan kunyit, tahini (pes bijan), gula dan kacang pain, adalah manisan tradisional di Beirut tetapi kurang dikenali di luar bandar itu.

    Makary, 73, menjelaskan bahawa dia dahulunya menjual manisan lain, namun apabila permintaan terhadap mufataka meningkat, dia hanya menumpukan membuat puding kuning itu bersama sepupunya, yang juga merupakan rakan perniagaannya.

    “Pada mulanya awda masukkan kunyit, itu yang paling penting, kemudian tahini, gula dan beras… kita masak dengan api perlahan,” katanya.

    Samir Makari memegang mufataka. – AFP
    Mufataka perlu dikacau dengan kerap – AFP
    Beras untuk membuat mufataka perlu direndam semalaman. – AFP
    Hasan El-Makary menimbang mufataka di dalam bekas. – AFP
    Kacang pain yang telah disediakan untuk membuat mufataka. – AFP

    Beras tersebut perlu direndam semalaman dan Makary akan tiba di kedai seawal 5 pagi untuk menyediakan mutafaka yang mengambil masa kira-kira empat jam dan memerlukan adunan dikacau dengan kerap.

    Bapanya memulakan perniagaan mufataka meskipun pada awalnya meragui orang sanggup membayar untuk hidangan yang lazimnya dibuat di rumah.

    Di seluruh kedai, bekas plastik berisi mufataka disusun di atas dulang, menanti pelanggan yang datang memesan melalui tingkap kecil dari jalan yang sibuk.

    Pelanggan Iman Chehab, 55, sedang membeli mufataka untuk ibunya yang dahulunya sering membuat hidangan tersebut.

    “Ibu saya sudah tua dan tidak mampu mengaduk… ia memerlukan banyak tenaga,” kata Chehab, yang bekerja dalam bidang pengurusan sumber manusia.

    Bagi mereka yang berasal dari Beirut, hidangan itu adalah ‘sesuatu yang tradisional’, katanya kepada AFP. Tempat seperti kedai Makary ini adalah ‘wajah lama Beirut yang kami sayangi dan sentiasa dikenang’.

    WARISAN

    Tidak jauh dari kawasan sibuk Beirut, Samir Makari, 35, sedang meneruskan tradisi keluarga.

    Di sebuah kedai yang moden dan juga menjual manisan Arab seperti baklava, Makari menjaga periuk tembaga besar berisi mufataka di belakang kaunter, sambil mengacau dengan alat pemegang kayu yang panjang.

    Dia menimbang dan mencampurkan gula, pes tahini, serta kacang pain dalam periuk kedua sebelum mencampurkannya bersama.

    Dahulu, mufataka hanya dibuat setahun sekali pada Rabu terakhir bulan April lalu, di mana keluarga berkumpul di pantai awam Beirut untuk meraikan acara yang dikenali sebagai ‘Rabu Ayub’, yang terkenal dengan kesabarannya, kata Makari, sambil menambah bahawa sifat tersebut juga diperlukan untuk membuat mufataka.

    Di dinding kedainya, yang dikendalikannya bersama abangnya, terdapat gambar bapa dan datuknya yang sedang bekerja.

    Dia berkata kadangkala membuat mufataka dua kali sehari bergantung pada permintaan, dengan beberapa pelanggan membawanya keluar dari Beirut untuk memperkenalkan hidangan tersebut kepada orang yang tidak mengetahuinya.

    Di kedai asal, Makary berkata dia gembira anak-anaknya meneruskan tradisi itu. Mufataka adalah sebahagian daripada warisan saya dan keluarga itu telah meneruskannya dari generasi ke generasi. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda