Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keluarga Yeo warisi legasi pembuatan kasut teratai

    KUALA LUMPUR – Melangkah masuk ke kedai keluarga Yeo di Melaka terasa seperti perjalanan kembali ke tahun 1960an. Ruangnya ringkas dan bersahaja, tanpa penghawa dingin, bunyi kipas yang berpusing ligat dan bau kulit serta gam memenuhi udara.

    Kabinet kayu usang menghiasi dinding, lacinya dipenuhi dengan bahan seperti fabrik broked sutera tenunan satin, kulit dan manik.

    Di kedai itu, Tony Yeo, 86, berasa bangga menjadi salah seorang daripada segelintir artisan yang masih tinggal di Malaysia yang mahir dalam kraf membuat kasut kaki terikat atau dikenali sebagai kasut teratai.

    Bersama adik-beradiknya Simon, 76, dan Raymond, 72, tukang berkenaan menyasarkan untuk terus membuat kasut tradisional ini, berukuran hanya tiga inci panjang, selama mungkin.

    “Jika kami berhenti membuat kasut ini, bagaimana orang akan mengingati masa lampau kita? Tidak ramai kanak-kanak hari ini yang tahu apa itu kasut teratai,” kata Tony semasa temu bual di bandar bersejarah itu.

    Raymond memegang sepasang kasut terikat yang memberikan penghormatan kepada warisan keluarganya dan era lampau.
    – ANN/The Star
    Pelbagai jenis kasut kaki terikat siap, setiap satunya sebesar saiz telapak tangan. – ANN/The Star
    Tony telah membuat kasut kaki terikat sejak dari bangku sekolah. – ANN/The Star
    Lapik dalam kasut kaki terikat, berukuran 7.6cm. – ANN/The Star
    Kasut sama seperti yang dicipta oleh datuk Raymond. – ANN/The Star
    Potongan standard digunakan untuk menyurih saiz pada fabrik untuk menghasilkan kotak ibu jari kaki. – ANN/The Star

    Yeo brothers ialah pemilik generasi ketiga Wah Aik, sebuah perniagaan yang mengkhusus dalam pembuatan kasut teratai dan kasut manik, yang popular dalam kalangan wanita Peranakan.

    Datuk mereka, Yeo Eng Tong, mengasaskan perniagaan itu pada tahun 1920, dan mereka berbangga dapat meneruskan legasi keluarga, yang berusia lebih satu abad.

    Walaupun Tony dan adik-beradiknya sudah jauh menjangkau umur persaraan, mereka belum bersedia untuk bersara.

    “Saya telah membuat kasut kaki terikat sejak di sekolah rendah. Kami semua akan berkumpul di kedai Ah Gung (datuk) saya untuk membantu tempahan kasut manik dan kasut teratai,” kata lelaki bujang itu sambil membongkok di depan peralatannya untuk mengukir tapak kasut.

    Mengikat kaki adalah amalan yang bermula pada abad ke-10 di China yang dikenakan ke atas wanita sebagai simbol status dan kecantikan. Pada masa itu, mempunyai kaki diikat meningkatkan peluang wanita untuk berkahwin dengan keluarga kaya.

    Ia melibatkan proses mengikat kaki dengan ketat menggunakan kain – mematahkan jari kaki dan lengkung tapak kaki – kemudian mengikatnya dengan pembalut untuk menahan kaki dalam kedudukan lengkung yang menyakitkan. Ini menghalangnya membesar selanjutnya, memaksa kaki menjadi lengkung dan mencipta penampilan kecil dan elegan.

    Kaki dibalut ketat itu dikenali sebagai bunga teratai emas.

    Walaupun proses mengikat kaki adalah adat yang berakar umbi di China, beberapa wanita pendatang Cina di Tanah Melayu juga mempunyai kaki teratai, membawa tradisi bersama mereka apabila berhijrah merentasi lautan.

    Mereka memerlukan kasut yang direka khas – selalunya diperbuat daripada sutera dan sulaman yang kompleks – agar sesuai dengan kaki mereka yang cacat.

    Walaupun amalan itu diharamkan di China pada tahun 1912, datuk Tony terus membuat kasut berkenaan untuk pelanggan yang memerlukannya.

    “Wanita dengan kaki diikat masih memerlukan kasut ini kerana kaki mereka telah cacat.

    Walaupun selepas mereka menanggalkan pembalut dan membiarkan kaki mereka membesar, kasut yang dibuat khas diperlukan untuk menampung bentuknya yang telah diubah.

    “Kali terakhir kami membuat sepasang adalah pada 1990an untuk seorang pelanggan dari Sekinchan, Selangor,” kongsi Raymond.

    Jadi mengapa terus membuat kasut teratai apabila tidak ada permintaan untuknya?

    Bagi Raymond, ia adalah mengenai memelihara sejarah dan warisan keluarganya.

    “Kasut buatan tangan berkenaan adalah popular dalam kalangan pelancong dan pengumpul, yang membelinya sebagai artifak budaya. Dalam seminggu, kami boleh menjual kira-kira dua hingga enam pasang kasut teratai. Kebanyakan pelanggan kami dari Eropah, terutamanya Perancis dan Britain,” kata Raymond sambil membelek buku pelawat sejak tahun 1980an yang dipenuhi dengan komen daripada pelanggan.

    Sementara tiga beradik itu mengusahakan kedai dan membuat kasut, adik mereka, Yeo Soon Lan, 54, menjahit manik pada sepasang kasut manik.

    “Kami menerima kira-kira empat hingga lima tempahan sebulan untuk kasut manik.

    Sesetengah pelanggan lebih suka kasut siap jadi kami sentiasa mempunyai kasut tambahan di kedai kami,” kata Simon, sambil menambah sebahagian besar perniagaan mereka datang daripada pembuatan kasut manik baharu dan membaiki kasut lama.

    Harga sepasang kasut manik baharu bermula dari RM700 manakala kerja pembaikan boleh menelan kos antara RM500 hingga RM900.

    SENTUHAN ARTISAN

    Kasut teratai dibuat tangan sepenuhnya dan mengambil masa kira-kira seminggu untuk disiapkan. Kos membuat sepasang berharga RM95.

    Setiap kasut mengandungi beberapa bahagian penting: tumit, selalunya keras dan ternaik; tapak kasut diperbuat daripada kulit; kotak jari kaki, dibuat daripada kadbod lembut untuk menampung kaki damit; dan kain.

    Tambahnya, warna pilihan untuk fabrik satin ialah merah jambu, hitam, emas dan merah.

    “Corak popular sering menampilkan reka bentuk bunga, seperti bunga peonies dan teratai, kerana ia melambangkan keindahan dan kemakmuran. Kami pergi ke Petaling Street di Kuala Lumpur setiap tiga bulan untuk membeli bahan tersebut. Walaupun kami telah mencuba mendapatkannya secara dalam talian, kualiti kadangkala tidak konsisten, jadi kami lebih suka membuat perjalanan sendiri. Bagi kulit, kami membelinya daripada pembekal di KL, manakala kulitnya diimport dari India,” kata Simon.

    Tony bekerja di bahagian belakang kedai, melembutkan pinggir tapak kulit dan menggilap tumit kasut kayu, diperbuat daripada kayu getah yang diperoleh daripada kilang papan di Melaka.

    Simon bertanggungjawab mengukir kotak kaki. Dia bermula dengan menyurih corak melengkung standard pada bahan seperti satin, baldu dan kadbod lembut. Selepas memotong bentuknya, Simon menggunakan gam pelarut untuk melekatkan lapisan – bermula dengan satin di atas, diikuti dengan kadbod lembut dan kain baldu.

    Seterusnya, Tony melekatkan kotak kaki pada tapak kaki, yang dibiarkan kering selama beberapa hari. Apabila semuanya dipasang, Simon melekatkan pangkal tumit dan menguatkannya dengan paku kecil.

    Berdasarkan kepakaran mereka, adik-beradik berkenaan sudah pasti mahir dalam bidang mereka. Namun apa yang membimbangkan adalah tiada saudara mereka yang berminat untuk mempelajari kraf tersebut.

    Oleh itu, masa depan kraf yang jarang ditemui ini masih tidak jelas. Atau mungkinkah orang ramai tidak berminat untuk mempelajari kraf ini kerana ia dikaitkan dengan amalan mengikat kaki yang menyakitkan dan bersifat menindas? – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda