Monday, May 12, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Keluargaku Penyayang Negara Gemilang’

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan – Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) yang diraikan pada hari Ahad di minggu pertama bulan Mei tahun ini akan jatuh pada 6 Mei 2018, bersamaan dengan 20 Syaaban 1439 Hijrah dengan tema ‘Keluargaku Penyayang Negara Gemilang’.

    Sebagai persediaan untuk menyambut HKK kali ketujuh yang akan berlangsung 96 hari lagi, Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HKK telah mengadakan mesyuarat pertama pada hari ini, bertempat di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Mesyuarat dipengerusikan oleh Mantan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan yang kini baru dilantik menjadi Menteri Pertahanan Kedua (II), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HKK.

    Turut hadir ahli-ahli dan wakil ahli yang terdiri daripada ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Ong Tiong Oh; Timbalan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Haji Mohd Irwan bin Haji Hambali; pegawai tugas-tugas khas selaku wakil pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Leftenan Kolonel Mohd Shafie bin Duraman, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan wakil-wakil daripada sektor swasta serta organisasi-organisasi bukan kerajaan.

    Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan mukadimah yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika menyampaikan mukadimahnya di Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HKK 2018, kelmarin.
    Antara yang hadir di mesyuarat tersebut.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dalam mukadimah pengerusi menekankan bahawa Sambutan HKK merupakan satu wadah untuk menyatukan usaha secara whole of nation bagi menyampaikan mesej mengenai kepentingan keharmonian dan pengukuhan keluarga untuk mengatasi segala cabaran.

    Ianya juga merupakan satu komitmen berterusan negara dalam menyumbang keamanan, kemakmuran, kestabilan, dan kemajuan negara pada mencapai Wawasan Negara 2035.

    Menurut Yang Berhormat Pehin, pada sambutan tahun lalu mereka telah memfokuskan kepada meningkatkan kesedaran pentingnya rasa kasih sayang di antara ahli keluarga untuk menjana kebahagiaan dan keharmonian keluarga serta rumahtangga.

    Fokus itu akan dikekalkan bagi sambutan tahun ini kerana inisiatif ini masih lagi difikirkan relevan untuk diteruskan dan ditangani, menurut Yang Berhormat Pehin.

    Yang Berhormat Pehin kemudiannya mengimbas kembali sambutan HKK pada tahun lalu, yang mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat bercemar duli ke Acara Riadah Berbasikal Keluarga Harmoni, yang mana ini menunjukkan sikap keprihatinan mendalam Baginda Sultan terhadap kepentingan isu keharmonian keluarga dan juga kegiatan warga sihat.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menekankan keberangkatan Baginda Sultan dan berbasikal bersama ahli kerabat diraja dan penduduk di Negara Brunei Darussalam juga jelas menunjukkan rasa kasih sayang dan juga hubungan rapat Baginda Sultan dengan rakyat.

    “Peramba/kaola/saya selaku pengerusi ahli jawatankuasa tertinggi menjunjung kasih setinggi-tingginya di atas keberangkatan Baginda dan ahli kerabat Baginda yang telah menceriakan dan memeriahkan lagi suasana di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien pada pagi yang bersejarah itu yang memberikan sinergi kepada program dan aktiviti Bandarku Ceria di setiap hari Ahad di Bandar Seri Begawan,” katanya lagi.

    Sebagai langkah untuk kesempurnaan sambutan HKK tahun ini, ujar Yang Berhormat Pehin, Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HKK telah bersidang lebih awal bagi persediaan yang lebih mantap dan perancangan yang lebih teratur.

    Antara lain yang dibincangkan dalam mesyuarat pagi tadi adalah mengenai format acara-acara utama Sambutan HKK 2018 yang menjurus kepada aktiviti keagamaan, kemasyarakatan, kesukanan dan riadah yang melibatkan setiap ahli keluarga di segenap lapisan masyarakat.

    Mesyuarat juga telah berbincang mengenai perkara-perkara yang berhubung kait dengan sambutan HKK tahun lepas termasuk keberhasilan dan memperbaiki acara-acara dan aktiviti-aktiviti sambutan, dengan mengambil kira penglibatan langsung lebih ramai masyarakat awam.

    Sambutan HKK 2018 seperti tahun yang lalu akan diadakan secara sepadu oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Kementerian Kesihatan serta penglibatan aktif daripada agensi kerajaan yang lain, pihak swasta, dan persatuan-persatuan badan bukan kerajaan (NGOs) melalui pendekatan whole of nation.

    Sehubungan dengan itu, bagi menjayakan sambutan pada tahun ini, Yang Berhormat Pehin menggesa semua pihak untuk berganding bahu dan terus bekerjasama dalam memberikan komitmen yang sepadu, terutama sekali dalam menggerakkan acara-acara sambutan, sama ada di peringkat kebangsaan, daerah, mukim atau kampung masing-masing, mahupun di peringkat organisasi, persatuan, masyarakat, ataupun kumpulan keluarga masing-masing dalam mencapai aspirasi negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda