Friday, February 14, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kelunakan suara Spider tarik perhatian

    Tidak cukup sekadar menghiburkan khalayak dengan kemerduan suaranya menerusi aktiviti busking, lelaki ini juga berjaya menarik perhatian warga maya dengan gaya persembahan yang unik sehinggakan ramai yang ternanti-nanti perkongsian video nyanyian terbaharunya di TikTok.

    Menyarung kostum adiwira Spiderman, jejaka berusia 34 tahun ini secara santai menyanyikan lagu-lagu rock yang popular pada era 1990an sambil tangannya memetik gitar.

    Berkongsi kisahnya dengan Bernama, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Roy ini berkata dia aktif dalam kegiatan busking atau muzik jalanan secara sambilan sejak 15 tahun lalu, bersama-sama dengan sebuah kumpulan penghibur jalanan.

    Namun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ketika penularan COVID-19 menghentikan aktivitinya bersama-sama kumpulan itu selama kira-kira dua tahun, sebelum dia kembali menjadi penghibur jalanan secara solo pada 2023 dengan mengenakan kostum Spiderman.

    “Pada peringkat awal, saya busking di dua tempat saja iaitu pasar pagi Sabtu dan di sebuah pasar raya, masing-masing di Padang Serai dan Kulim, Kedah. Selepas kerap berkongsi video nyanyian di TikTok bermula Julai tahun lepas, followers saya semakin bertambah kerana ada antara video nyanyian saya yang FYP (for your page),” ujarnya.

    Menyarung kostum adiwira Spiderman, jejaka berusia 34 tahun ini secara santai menyanyikan lagu-lagu rock yang popular pada era 1990an sambil tangannya memetik gitar. – Bernama

    Menurut Roy, dari situ semakin ramai mengenali dirinya sehingga ada yang mengundangnya mengadakan persembahan di majlis kahwin dan lain-lain.

    “Alhamdulillah, sekarang rezeki untuk mengadakan busking semakin bertambah dan boleh dikatakan jadual hujung minggu saya sudah penuh hingga Julai ini,” katanya yang mempunyai pekerjaan tetap sebagai juruteknik.

    Bercerita tentang kostum Spiderman, Roy berkata dia meminati watak komik itu sejak kecil dan setakat ini mempunyai 15 helai kostum yang dipakai secara bergilir ketika mengadakan persembahan.

    Sekalipun pemakaian kostum itu renyah dan mencetuskan rasa tidak selesa, Roy berkata dia kini alah bisa tegal biasa, lebih-lebih lagi niatnya ialah untuk menghiburkan orang ramai selain membantunya menarik minat kanak-kanak kepada kegiatan busking.

    Tentang perancangan masa depan, anak jati Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang ini berkata dia tidak berhasrat menjadi artis walaupun menerima reaksi positif orang ramai, khususnya warganet.

    “Ada yang menyatakan saya layak menjadi seorang penyanyi terkenal, namun saya tahu tahap kemampuan nyanyian saya. Lagipun aktiviti busking ini hanya hobi, saya ada kerja hakiki dan saya lebih selesa dengan keadaan seperti sekarang,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda