Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kem bantu kanak-kanak istimewa hidup berdikari

    HAMDEN, CONNECTICUT – Santino Iamunno lahir tanpa sebahagian besar tangan kanannya, dan kanak-kanak berusia 11 tahun itu cenderung menyimpan tangan itu di dalam poketnya apabila berada di sekeliling orang baharu atau tidak dikenali, hanya untuk mengelakkan soalan.

    Tetapi itu bukan sesuatu yang dia risau di Camp No Limits, di mana semua pekhemah muda berhadapan dengan isu kehilangan anggota badan atau kecacatan kongenital.

    “Rasanya bagus kerana saya tidak perlu, misalnya, menjelaskan apa yang sering berlaku,” kata Santino.

    “Kerana di luar kem, saya akan mendapat banyak soalan seperti, ‘Apa yang berlaku?’ Dan maksud saya, saya akan menerangkannya kepada mereka.

    “Tetapi di sini, keadaan adalah lebih baik kerana saya tidak perlu memberikan penjelasan.”

    Peserta kem, Conor Dwyer mengambil bahagian dalam lumba berhalangan semasa Camp No Limits di Universiti Quinnipiac di Hamden, Connecticut. – Gambar AP
    Rachel Webster (tengah) bersedia untuk menunggang basikal roda tiga di Camp No Limits. – Gambar AP
    Anya Rhodes (kanan) bermain gelung hula semasa perkhemahan di Universiti Quinnipiac. – Gambar AP
    Mariam Keep menunggang basikal semasa perkhemahan di Hamden, Connecticut. – Gambar AP

    Ditubuhkan pada tahun 2004, Camp No Limits mengadakan sesi di Maine, Missouri, Maryland, Florida, Idaho, Arizona, Texas, California dan satu sesi istimewa di Connecticut, di mana kaunselor adalah pelajar terapi fizikal dan pekerjaan di Universiti Quinnipiac, sebuah sekolah swasta dengan kira-kira 9,000 pelajar prasiswazah dan siswazah.

    Pada program empat hari itu, peserta perkhemahan tinggal di asrama Quinnipiac, menghadiri sesi terapi fizikal, belajar tentang prostetik dan peralatan lain dan diajar cara-cara menjalani kehidupan harian seperti cara mengikat kasut mereka, mengikat rambut atau menaiki tangga.

    Mereka juga boleh mencabar diri mereka secara fizikal dengan aktiviti seperti belajar atau belajar semula cara menunggang basikal dan mencuba kereta luncur hoki.

    Anak perempuan Jeni Rhodes yang berusia 8 tahun, Anya, kehilangan kaki kirinya akibat kanser.

    Dia berkata melihat Anya mendorong dirinya di kem untuk mengatasi halangan dan mengalami keseronokan semula merupakan sesuatu yang amat istimewa bagi dirinya.

    “Dia boleh mengayuh basikal hari ini buat kali pertama sejak amputasinya tahun lalu,” kata Rhodes.

    “Jadi ini adalah peluang besar bukan sahaja untuk berada di sekeliling orang lain dan kelainan, tetapi juga untuk dirinya mencuba perkara baharu.”

    Ramai daripada peserta perkhemahan ditemani ibu bapa dan adik-beradik yang turut bermalam, menyertai beberapa aktiviti serta menjalinkan hubungan dengan keluarga lain.

    Rosanne Keep, dari Wales Utara, Pennsylvania, datang bersama anak perempuannya Mariam yang berusia 12 tahun, yang lahir dengan keadaan kongenital yang menyebabkan kaki kanannya dipotong pada Januari. Dia berkata peluang untuk bertemu kanak-kanak lain yang tidak sempurna anggota badan dan keluarga mereka adalah baik untuk anak perempuan dan juga dirinya.

    “Terdapat kanak-kanak lain di luar sana, tetapi bergantung pada kumpulan yang awda lawat, awda tidak begitu kerap berjumpa mereka,” kata Rosanne Keep.

    “Jadi ini peluang yang baik untuk saya bertemu dengan beberapa kanak-kanak lain, bercakap tentang, awda tahu, apa yang mereka lalui dan juga sebagai ibu bapa untuk bertemu ibu bapa lain yang menghadapi kesukaran yang sama. Ia baik dari segi mental.”

    Kem-kem ini dikendalikan oleh ahli terapi fizikal dan pekerjaan, pakar prostetik dan mentor amputasi dewasa.

    Kem Quinnipiac juga merupakan pengalaman pembelajaran untuk kaunselor pelajar.

    Ia satu-satunya perkongsian yang dijalin Camp No Limits dengan universiti. Dan kem Quinnipiac menerima lawatan setiap tahun daripada pelajar prostetik dari Universiti Hartford, jadi mereka juga boleh mengajar dan belajar daripada kanak-kanak.

    “Saya suka kami dapat melakukan aktiviti ini,” kata Mary Leighton, ahli terapi fizikal selaku pengasas dan pengarah eksekutif kem itu.

    “Ketika saya di sekolah, kami benar-benar mempunyai jumlah masa yang sangat terhad yang dihabiskan untuk membincangkan orang yang diamputasi atau individu yang mempunyai kecacatan anggota badan.”

    Pengalaman perkhemahan itu lebih daripada aplikasi praktikal berbanding apa yang dipelajari oleh pelajar dalam bilik darjah, kata Maria Cusson, seorang profesor klinikal terapi fizikal di Quinnipiac.

    “Hubungan peribadi itu, mempelajari kisah peserta perkhemahan, awda tahu, membantu kanak-kanak ini dan mengetahui siapa membantu mereka (kaunselor) berkembang sebagai pelajar,” kata Cusson. “Ia lebih berkesan daripada yang awda bayangkan. “

    Pelajar terapi, Tessa Maloney, salah seorang ketua pelajar kem itu, berkata dia mempunyai pencerahan kerjaya semasa bekerja sebagai kaunselor.

    Dia sedang menonton pertunjukan bakat kem apabila seorang budak lelaki berusia 16 tahun yang pernah bekerja dengannya naik ke pentas.

    Dengan tema Olimpik dimainkan di latar belakang, remaja itu, yang baru-baru ini kehilangan sebahagian besar sebelah kaki akibat kanser, terus menaiki tangga.

    Ia membuatkan Tessa menitiskan air mata dan meyakinkannya bahawa dia harus membantu kanak-kanak yang mempunyai kecacatan anggota badan ini.

    “Itu satu langkah besar bagi dirinya,” katanya. “Dia tidak boleh berbuat demikian sebelum dia datang ke kem.

    “Itu adalah sesuatu yang diusahakannya semasa berada di sini, dan dia berasa cukup yakin dengan keupayaan baharu itu untuk melakukannya di hadapan semua orang. Dan ia benar-benar memberi inspirasi kepada semua.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda