Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Seramai 39 peserta yang terdiri daripada murid-murid Tahun 6 dari keempat-empat daerah telah menyertai Kem Belia Remaja Muaskar Syabab yang berlangsung di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan bermula 11 hingga 13 November lalu.
Kem anjuran Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Brunei dan Muara tersebut adalah bagi menyediakan peluang interaksi melalui pendidikan yang tidak formal kepada golongan muda belia yang meningkat remaja.
Susulan itu, para peserta menerima sijil dan diraikan dalam Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil bagi Kem Belia Remaja Muaskar Syabab yang dihadiri oleh Pegawai Pentadbir Kanan, Jabatan Belia dan Sukan, Awang Mohamad Iskandar bin Haji Idris.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan dan para ibu bapa serta penjaga.
Sepanjang tiga hari kem itu, pelbagai aktiviti rekreasi seperti sukan, kebudayaan, lawatan telah diadakan untuk membantu perkembangan kemahiran dan kebolehan peserta.
Menerusi kem berkenaan, mereka telah diperkenalkan kepada Jabatan Belia dan Sukan termasuk kemudahan-kemudahan prasarana untuk menarik minat peserta dalam kegiatan kebeliaan mahupun kesukanan.
Lawatan ke kompleks sukan di bawah Jabatan Belia dan Sukan turut diadakan di mana sesi latihan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, antaranya Sukan Cue, Karate, Silat, Taekwondo dan Lawan Pedang dapat disaksikan.
Selain itu, peserta diberi peluang merasai sendiri acara sukan antaranya sukan Tenis, Boling Padang dan Hoki.
Sembahyang Berjemaah, sukan rekreasi dan senaman, begitu jua persembahan malam kebudayaan turut diadakan selain pengisian dalam kesukanan dan kebeliaan untuk mengasah kemahiran dalam kepimpinan dan berkomunikasi para peserta.
Kem berkenaan diharap dapat melahirkan belia remaja yang berdisiplin, berakhlak mulia, berdaya saing, proaktif, berinisiatif dan kreatif serta berani menyuarakan pendapat serta mampu membentuk belia yang lebih bertanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara.




