Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kem Desa Kencana dijangka siap 2027

    TAWAU, 8 NOV – Pembinaan kem tentera baharu bernilai lebih RM500 juta di Felda Sahabat, Lahad Datu sudah dimulakan hampir setahun dan dijangka disiapkan pada November 2027, kata Panglima Briged ke-13 Infantri (13 Briged), Brig Jen Hashim Osman.

    Beliau berkata pembinaan Kem Desa Kencana tu akan menempatkan satu batalion infantri 13 Briged sebagai usaha meningkatkan tahap keupayaan serta kesiapsiagaan tentera dalam menangani ancaman semasa sekali gus mengukuhkan tahap keselamatan pantai timur Sabah.

    “Kem ini dijangka siap dalam tempoh ditetapkan, kerja pembinaan dilaksanakan lebih kurang enam peratus, kem baharu ini akan menempatkan 26 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dipindahkan dari Kem Kukusan di Tawau ke Kem Desa Kencana.

    “Selain itu melibatkan pemindahan kompeni-kompeni dari Kem Cenderawasih di Felda Sahabat, Lahad Datu ke Desa Kencana, kami berharap dengan siapnya kem baharu ini ia juga akan memberikan keselesaan kepada semua peringkat anggota dalam melaksanakan tugas,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun ke-13 Briged kelima di Kem Kukusan di sini hari ini.

    Menurut Hashim kem baharu itu juga akan menyediakan kediaman kepada anggota memandangkan ketika ini anggota 13 Briged terpaksa berkongsi rumah keluarga dengan pasukan lain serta berdepan isu sewa rumah yang mahal di Tawau dan Lahad Datu.

    “Buat masa ini, Kementerian Pertahanan meluluskan sewaan kelompok fasa satu dan sekarang dalam proses membuat sewaan kelompok fasa dua melibatkan 190 rumah, jadi perkara ini kita menunggu kelulusan daripada Kementerian Pertahanan,” katanya. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda