Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan terus melabur dalam pelaksanaan pelbagai program pembangunan kapasiti dan memperkasakan belia negara dengan matlamat untuk menyediakan ruang serta peluang kepada belia berkembang dan bersama-sama menyumbang secara aktif dalam pembangunan negara khususnya ke arah mencapai wawasan 2035.
Bagi pihak kementerian, pelaburan yang dibuat ke arah memperkasakan belia negara itu adalah amat berbaloi kerana ia mampu untuk membangunkan serta memperkasakan belia negara supaya berani tampil ke hadapan dan bergiat secara aktif, kreatif dan mampu memberikan buah fikiran untuk sama-sama membangunkan negara.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin ketika memberikan kata-kata penutup semasa Majlis Penutup Kem Eksplorasi Antarabangsa 2019 yang berlangsung di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.
Beliau turut menyatakan bahawa pihak kementeriannya amat mengalu-alukan penyertaan serta maklum balas daripada golongan belia untuk memberikan buah fikiran yang bernas bagi membantu dalam merangka hala tuju serta program pembangunan kapasiti belia yang benar-benar diperlukan oleh golongan belia.
Beliau juga berkata bahawa pihak kementerian akan terus menyediakan platform bagi golongan belia untuk memperkasakan diri tetapi belia harus merebut dan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan kepada mereka itu.

Pada masa yang sama, beliau amat mengalu-alukan serta menghargai penganjuran program pembangunan atau memperkasakan belia seperti Kem Eksplorasi Antarabangsa di mana ia dilaksanakan oleh golongan belia sebagai usaha untuk memberikan pendedahan kepada para peserta program antarabangsa pembangunan belia yang dianjurkan pihak kementerian serta meningkatkan keprihatinan belia kepada keperluan golongan yang memerlukan dan menjana semangat kebajikan serta kesukarelawanan di kalangan mereka.
Terdahulu, Pengerusi Alumni Program-program Antarabangsa (APPA) dan Kem Eksplorasi Antarabangsa (KEA), Haji Mohamad Paizzal bin Haji Piluk menyatakan bahawa program KEA itu disertai oleh seramai 100 orang peserta daripada berbagai latar belakang yang terdiri daripada belia-belia dari persatuan belia, institusi pengajian tinggi, masjid dan juga perseorangan.
Beliau berkata lagi bahawa para peserta telah pun didedahkan kepada aktiviti perbincangan mengenai isu-isu belia rantau Asia Tenggara, Jepun dan Korea.
Di antara fokus utama perbincangan adalah mengenai Youth Entrepreneurship: Indrustrial Revolutions 4.0: Penyelesaian kepada Pengangguran, di mana para peserta telah berbincang cara-cara ataupun kaedah yang boleh mengurangkan permasalahan pengangguran yang terdapat di negara ini.
Haji Mohamad Paizzal berkata lagi, “Sebagai seorang belia Brunei, kita harus memberi balik bukan sahaja kepada kerajaan tetapi kepada masyarakat dan bumi.
“Para peserta telah pun dibawa melawat dan membuat kerja-kerja kemasyarakatan atau di kenali sebagai day of action, yang mana telah diadakan di Pusat Biodiversiti Marin dan Pantai Meragang, di mana para peserta berpeluang menyaksikan hidupan-hidupan liar seperti penyu yang di bawah jagaan pusat tersebut dan setelah itu para peserta telah sama-sama membersihkan kawasan Pantai Meragang.”
Menerusi penyertaan para peserta dalam aktiviti itu, ia memberikan kesedaran kepada mereka akan pentingnya menjaga kebersihan pantai dan alam sekitar.
Beliau turut menyatakan harapan dengan adanya perkhemahan itu, ia dapat mempersiapkan atau menjadi salah satu garis pandu bagi para peserta yang berminat bagi memohon atau mengikuti program-program pertukaran antarabangsa belia yang dikelolakan oleh Jabatan Belia dan Sukan.