Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kem Ibadah perkasa belia

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Program Kem Ibadah atau lebih dikenali dengan Muslim Youth Camp telah diakhiri dengan Majlis Penutup yang diadakan pada hari ini, bertempat di Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong.

    Majlis ini juga merupakan penutup bagi kem-kem ibadah yang telah berlangsung di keempat–empat daerah pada bulan Disember ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sijil-sijil penyertaan kepada para peserta ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

    Haji Mohd Serudin dalam ucapannya percaya bahawa aktiviti berkenaan merupakan satu usaha yang sangat relevan dan bertepatan dengan hasrat dan Wawasan Negara 2035 bagi membentuk para belia pada masa ini sebagai belia yang benar-benar menjadi generasi belia harapan bangsa yang mempunyai jati diri yang tinggi dan cemerlang selaras dengan kedudukan mereka sebagai pemangkin kepada perpaduan masyarakat dalam kalangan generasi muda.

    Selain itu, menurut beliau, belia berkenaan juga bakal menjadi peneraju kepimpinan negara di masa hadapan serta akan tetap meneruskan dan memperkasakan nilai murni melalui falsafah Negara, Melayu Islam Beraja.

    Juara bagi Kumpulan Wanita Terbaik dimenangi oleh Kumpulan Sayyidatun Nisa.
    Para peserta yang mengikuti Program Kem Ibadah berkenaan semasa di majlis penutup.

    “Dengan adanya program seperti ini akan dapat mencapai hasrat dan tujuan ianya diadakan iaitu untuk melatih para belia dengan berbagai bentuk disiplin ilmu pengetahuan serta pengalaman hidup yang luas dan bermanfaat, di samping dapat membiasakan mereka dengan pergaulan yang sihat dengan masyarakat sekeliling serta dapat membentuk akhlak dan keperibadian muslim yang terpuji di dalam usaha bagi menyediakan generasi belia harapan agama, bangsa dan negara,” jelas Haji Mohd Serudin.

    Di majlis penutup berkenaan juga telah diadakan penyampaian hadiah kepada kumpulan terbaik yang disampaikan oleh tetamu kehormat. Juara bagi Kumpulan Lelaki Terbaik telah dimenangi oleh Kumpulan Air Mata Syurga, manakala juara bagi Kumpulan Wanita Terbaik dimenangi oleh Kumpulan Sayyidatun Nisa.

    Program Kem Ibadah bagi Daerah Brunei-Muara telah berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Disember 2017 dan telah disertai oleh 85 orang belia dan beliawanis masjid.

    Antara tujuan program tersebut diadakan adalah untuk melatih para belia dan beliawanis masjid agar mendekatkan diri dengan masjid dengan mengikuti aktiviti yang diungkayahkan oleh pihak masjid, lebih-lebih lagi semasa waktu lapang di musim cuti persekolahan.

    Terdahulu, wartawan Media Permata sempat menemu bual salah seorang belia yang merupakan peserta bagi Program Kem Ibadah bagi Daerah Brunei Muara. Dayang Nurul Hafiqah binti Hanafi yang berusia 18 tahun dan merupakan pelajar Pusat Tingkatan Enam Sengkurong menjelaskan bahawa ini merupakan kali pertama beliau mengikuti program seumpama ini dan program berkenaan menurut beliau adalah amat berguna untuk disertai kerana memiliki pelbagai ilmu dan pengalaman yang tidak pernah beliau pelajari sebelum ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda