Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kem kepimpinan asah pelajar jadi pemimpin sekolah

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BELAIT, 8 JULAI – Dalam usaha untuk melatih, mendedahkan dan melahirkan pemimpin sekolah yang mempunyai jati diri dan semangat kerja berpasukan di samping mempunyai kecekalan diri dalam mengharungi cabaran, seramai 47 orang peserta terdiri daripada pengawas sekolah serta pelajar peringkat rendah dan menengah telah mengikuti Program Kem Kepimpinan 2024, baru-baru ini.

    Kem yang berlangsung selama dua hari itu dikendalikan oleh Sekolah St Angela, Seria dan ia merupakan program julung kali diadakan yang dilaksanakan oleh sekolah berkenaan.

    Antara lain objektif kem itu adalah untuk mengasah bakat kepimpinan dalam diri peserta yang terlibat, membina potensi dan meningkatkan kemahiran mengurus dan memimpin agar peserta dapat mengendalikan atau melaksanakan sesuatu aktiviti dengan berkualiti dan berkesan.

    Di samping itu, ianya dapat membantu para pelajar lain untuk mengetahui cara-cara mengurus ahli, membina pasukan, serta bertindak secara berpasukan dan mengetahui cara-cara menangani masalah.

    Sepanjang kem berkenaan diadakan, para peserta telah mendengarkan taklimat mengenai maksud kepimpinan yang telah diterangkan oleh salah seorang guru sekolah berkenaan di samping mengikuti aktiviti berkaitan dengan kredibiliti seorang pemimpin dalam menggalas tanggungjawab.

    Peserta mencuba salah satu aktiviti yang disediakan semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH ST ANGELA
    Para peserta semasa menyelesaikan puzzle. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH ST ANGELA
    GAMBAR SERAHAN SEKOLAH ST ANGELA

    Dalam aktiviti itu, para peserta melakukan aktiviti secara berpasukan dan bekerjasama untuk menyelesaikan setiap check-point dengan cepat dan tepat dan mereka juga diberikan tugasan untuk menyelesaikan perkataan secara puzzle.

    Selain itu, pihak sekolah juga telah menjemput Gerakan Belia MINDA (MYM) untuk berkolaborasi bagi mengadakan kem kepimpinan tersebut bersama.

    Wakil ketua projek dari MYM, Dayang Nur Najwa Liza, telah menerangkan bahawa antara aktiviti yang menarik dijalankan ialah penerangan mengenai kepimpinan, brainstorming, kemahiran membuat keputusan dan aktiviti berkumpulan.

    Peserta-peserta program juga berpeluang mengikuti aktiviti rempuh halangan sebanyak 15 halangan yang diadakan termasuklah halangan komando, team building dan sebagainya yang memerlukan peserta mendengar arahan tanpa melihat apa yang telah disediakan oleh mereka.

    Aktiviti halangan itu bertujuan untuk meningkatkan ketahanan fizikal dan mental para peserta yang secara tidak langsung dapat melahirkan barisan kepimpinan mempunyai wawasan yang tinggi, di samping memegang dan menjalankan amanah serta tugas yang diberikan oleh pihak pengurusan sekolah.

    Secara keseluruhannya, program berkenaan dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran terhadap sekolah berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda