BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Pertanian bukan sahaja suatu perniagaan yang menguntungkan dan memberi manfaat kepada kepelbagaian ekonomi negara, tetapi ia juga dapat meningkatkan taraf hidup rakyat sekali gus dapat mengurangkan pengangguran dengan membina kapasiti manusia.
Oleh itu para belia digalakkan untuk lebih bergiat aktif dalam aktiviti dan program alam sekitar dengan mengambil peluang yang ditawarkan oleh pelbagai inisiatif alam sekitar yang diketuai oleh kerajaan, badan bukan kerajaan dan sektor swasta.
Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin semasa Majlis Penutup Kem Kepimpinan Green ke-5 yang diadakan di Hutan Simpan Berakas, baru-baru ini.
Beliau seterusnya berkata, kem kepimpinan yang diadakan itu merupakan satu permulaan bagi para belia untuk mempelajari dan mendapatkan platform yang berbeza untuk menimba ilmu mengenai alam sekitar melalui persidangan, kem luar dan dialog.

Kem yang bertemakan ‘Pertanian Lestari dan Agri Makanan’ selama empat hari bermula dari 27 hingga 30 Mac itu merupakan anjuran Green Brunei dan disokong oleh Anggun Advanced Apparels, Hua Ho Agricultural Farm, NBT (Brunei) Sdn Bhd, Syarikat Seri Ladang, IBIC Sdn Bhd dan Buildcon Concrete Sdn Bhd.
Antara pengisian kem tersebut ialah lawatan ke Abattoir Haji Jamahat, Tasbee Meliponiculture Farm dan IMBRU Essential Oil Enterprise, sesi ceramah bertajuk ‘Brunei dan Perubahan Iklim’ oleh Jabatan Meteorologi Brunei Darussalam, Kementerian Perhubungan dan ceramah bertajuk ‘Pertanian Mapan dan Agri-hutan’ oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.
Program tersebut juga diisikan dengan bengkel kemahiran yang dikendalikan oleh Pengurus Program Pendidikan Alam Sekitar di bawah Green Brunei dan Pengurus Projek GLC5, Awang Mohammad Firdaus bin Haji Ismail dengan melatih para peserta dalam aspek kesukarelaan, kepimpinan, kerja berpasukan, kreativiti dan pengucapan awam.
Objektif kem ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para peserta mengenai alam sekitar serta menanamkan minat peserta terhadap cara-cara untuk menangani isu-isu alam sekitar dan cabaran yang dihadapi oleh sektor pertanian di Negara Brunei Darussalam.
Kem Kepimpinan Green kali pertama telah diadakan pada tahun 2014 dengan objektif untuk memperkasakan belia melalui bengkel kerja berpasukan, kemahiran kepimpinan dan pemuliharaan.
Sehingga kini, 139 belia telah menyertai program ini dan 7 kumpulan alumni telah berjaya menjalankan projek pasca-acara mereka.