Tuesday, October 8, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kem. Kesihatan diiktiraf AHA ITC

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Kementerian Kesihatan meraikan pengiktirafannya sebagai sebuah Pusat Latihan Antarabangsa (ITC) American Heart Association (AHA) bermula dari 24 Februari pada majlis perasmian yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Turut hadir Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan dari Kementerian Kesihatan.

    Dalam kata alu-aluannya, Pengarah Perkhidmatan Hospital dan Pengerusi Lembaga Resusitasi Kebangsaan, Dr Hajah Lailawati binti Haji Jumat menyatakan perasmian pusat latihan berkenaan merupakan mercu tanda penting dalam komitmen berterusan Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan standard dan latihan resusitasi di Brunei.

    Pengiktirafan itu juga akan memastikan kursus penyedia AHA Basic Life Support (BLS) dan Advanced Cardiac Life Support (ACLS) disampaikan mengikut standard antarabangsa, melengkapkan para peserta dengan pengetahuan serta kemahiran diperlukan dalam situasi kritikal.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bergambar ramai pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa melawat ke salah satu ruang pameran pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON

    Memandang ke hadapan, Dr Hajah Lailawati berkata timbulnya hasrat untuk melanjutkan peluang latihan berkenaan kepada profesional penjagaan kesihatan dari institusi swasta yang berkolaborasi rapat dengan Kementerian Kesihatan.

    Inisiatif itu, ulasnya, berhasrat bukan sahaja untuk mengukuhkan tenaga kerja penjagaan kesihatan dalam negara tetapi juga mengalu-alukan peserta antarabangsa, memupuk budaya kecemerlangan dalam latihan resusitasi rentas sempadan.

    Manakala itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dalam ucapannya menekankan bahawa AHA ITC memainkan peranan kritikal dalam meningkatkan kemahiran profesional penjagaan kesihatan, memastikan standard tinggi penjagaan, meningkatkan hasil pesakit serta memupuk budaya kecemerlangan dalam sistem penjagaan kesihatan negara.

    Majlis juga mengetengahkan ucapan video oleh Naib Presiden Kanan AHA International, Christopher D’ Esposito dan ucaptama oleh Pengarah Serantau AHA bagi Asia Pasifik dan China, Alina Zhuang.

    Mercu tanda yang dicapai oleh Kementerian Kesihatan membolehkan kementerian berkenaan dengan kerjasama Fakulti Latihan Serantau AHA untuk melancarkan Program Train-the-Trainers (ToT) yang menumpukan kepada peningkatan keupayaan latihan resusitasi bagi profesional penjagaan kesihatan.

    Program itu merangkumi kursus-kursus mustahak seperti Kursus Fakulti Pusat Latihan (TCF) dan BLS & ACLS Provider and Instructor Essentials.

    Sehubungan itu, 11 pakar klinik kanan daripada pelbagai kepakaran akan menjalani latihan Fakulti Pusat Latihan (TCF) untuk menjadi ahli Fakulti ACLS dan BLS ITC Kementerian Kesihatan.

    Inisiatif itu bermatlamat membina kepakaran sedia ada dengan melengkapkan mereka dengan metodologi arahan lanjut khusus bagi program AHA, membolehkan mereka mengendalikan kursus-kursus AHA BLS dan ACLS Instructor secara efektif selain mengembangkan lagi kapasiti tenaga pengajar tempatan.

    Selepas tamat latihan TCF, 17 profesional penjagaan kesihatan, kebanyakan jururawat dan paramedik yang pada masa ini berkhidmat sebagai tenaga pengajar in-house, akan mengambil bahagian dalam Kursus Tenaga Pengajar BLS and ACLS.

    Inisiatif itu bermatlamat mengembangkan pasukan Heartsaver yang diiktiraf AHA, tenaga pengajar BLS dan ACLS dengan melatih lebih ramai profesional daripada kakitangan penjagaan kesihatan kementerian, menambah kepada 29 tenaga pengajar bertauliah masa kini.

    Latihan itu akan dikendalikan di Pusat Resusitasi Kebangsaan yang baru diubahsuai yang direka untuk menyokong pendidikan resusitasi berkualiti tinggi. Berikutan Program ToT, ITC Kementerian Kesihatan akan melancarkan Kursus Penyedia ACLS dan BLS diiktiraf AHA pada hujung 2024 yang akan mengiktiraf profesional penjagaan kesihatan sebagai penyedia ACLS dan BLS.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda