Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Kementerian Kesihatan, petang tadi, menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini dengan mengadakan Majlis Ceramah Khas Awal Bulan Ramadan yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, kementerian berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Zakaria bin Haji Serudin dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Kesihatan, ketua-ketua fungsi serta pegawai dan kakitangan di kementerian tersebut.
Pada majlis itu, ceramah bertajuk ‘Hikmah Bulan Puasa’ telah disampaikan oleh Ketua Unit Perkhidmatan Ugama, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Haji Idris bin Haji Rashid.
Dalam ceramahnya itu, beliau antara lain menyentuh mengenai kelebihan berpuasa, peringkat-peringkat orang berpuasa, amalan-amalan terpuji ketika berpuasa serta keistimewaan malam Lailatul Qadar.



Haji Idris menjelaskan bahawa bulan Ramadan merupakan bulan yang ditunggu-tunggu oleh Muslim kerana ia adalah bulan yang penuh kemuliaan dan keberkatan yang dilimpahkan oleh Allah S.W.T.
Beliau menyatakan lagi bahawa masyarakat yang berpuasa di negara ini begitu beruntung dan penuh keberkatan dari Allah S.W.T kerana dapat berpuasa penuh dengan aman dan keselesaan.
Beliau antara lain telah menggariskan lagi beberapa hikmah bulan puasa seperti bertakwa yang dilipat gandakan pahalanya, orang Islam diseru untuk memohon keampunan kepada Allah S.W.T dan juga memperbanyakkan doa.
Majlis berkenaan merupakan salah satu daripada aktiviti keagamaan tahunan kementerian berkenaan yang dikelolakan oleh Pejabat Pentadbiran dengan tujuan untuk mengeratkan lagi ukhuwah sesama Muslim di samping mengharapkan ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah S.W.T.