Kem. Kesihatan terima sumbangan dispenser pensanitasi tangan automatik

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran dan tabiat penjagaan kebersihan tangan yang baik ketika penularan pandemik COVID-19, MMW telah memperkenalkan alat dispenser tangan automatik di bawah jenama Mixel, Mixel+.

Sehubungan itu, satu majlis penyerahan sumbangan produk tersebut kepada Kementerian Kesihatan telah diadakan hari ini yang berlangsung di Lobi Utama, Bangunan Kementerian Kesihatan.

Hadir untuk menerima sumbangan berkenaan bagi pihak Kementerian Kesihatan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif di mana sumbangan diserahkan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Michelle Lo dan Timbalan Ketua Pegawai Kreatif, Hamdi Matussin. Peralatan berkenaan diletakkan di Lobi Utama, Bangunan Kementerian Kesihatan, Berakas, sebagai peringatan kepada semua orang untuk sentiasa menjaga kebersihan tangan mereka.

Dr Haji Zulaidi menerima peralatan Mixel+ yang diletakkan di Lobi Utama, Bangunan Kementerian Kesihatan, kelmarin.