Sunday, May 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kem latihan promosikan para badminton di mata dunia

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Menyebut tentang sukan Badminton, ia sering dikenali sebagai sukan untuk semua kerana ia boleh dimainkan oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira umur mahupun bangsa malah, juga tersedia bagi mereka yang mengalami keterbatasan fizikal melalui para badminton.

    Sejak tahun 2011, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) telah menjadi badan induk bagi sukan para badminton untuk terus membangun dan mempromosikan sukan berkenaan di mata dunia.  Di samping itu, pada peringkat Badminton Asia juga telah giat membangunkan para badminton  dengan melahirkan lebih ramai pemain dan jurulatih para badminton.

    Baru-baru ini, Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam (PBKBD) dan Majlis Paralimpik Brunei telah menerima subsidi tiket penerbangan dan tempat penginapan dari Badminton Asia bagi jurulatih, Awang Mohd Zuno Kartono bin Haji Ali dan Haji Mohd Rudy Izman bin Haji Badar (pemain para badminton negara) untuk menghadiri kursus dan kem latihan di Manama, Bahrain.

    Awang Mohd Zuno bersama rakan dari Perancis akan mengendalikan BWF Para Coaching Course dan kem latihan bagi jurulatih-jurulatih dan pemain-pemain para badminton dari negara membangun pada 13 hingga 15 Mei 2022.

    Kem latihan tersebut juga akan dihadiri oleh Haji Mohd Rudy Izman yang seterusnya akan menyertai Kejohanan Badminton Paralimpik Antarabangsa anjuran bersama Bahrain Paralympic Committee dan Bahrain Badminton and Squash Federation bermula 16 hingga 22 Mei ini.

    Awang Mohd Zuno Kartono dan Haji Mohd Rudy Izman ketika bergambar ramai bersama presiden PBKBD dan pemangku presiden Majlis Paralimpik Brunei sebelum berlepas meninggalkan negara baru-baru ini. – Gambar fail
    Haji Mohd Rudy Izman sangat berbesar hati setelah dipilih untuk menghadiri kem latihan.
    Haji Mohd Rudy Izman bersama atlet para badminton yang lain semasa menyertai kem latihan di Manama, Bahrain. – Gambar serahan PBKBD
    Gambar menunjukkan Haji Mohd Rudy Izman semasa mengikuti salah satu sesi latihan. – Gambar serahan PBKBD

    Enam kategori akan dipertandingkan dalam kejohanan tersebut iaitu WH1, WH2, SL3, SL4, SU5 dan SH6. Wakil atlet negara akan menyertai kategori WH1, yang mana atlet di kelas ini memerlukan kerusi roda untuk bermain badminton.

    Memandangkan para badminton merupakan suatu yang baharu di negara ini, para badminton masih kurang bertapak kukuh di Brunei di mana kebanyakan orang di negara ini kurang mengetahui tentang para badminton berikutan kekurangan pemain dan sumber yang ada. Ketika pihak media menemui atlet para badminton negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei baru-baru ini, Haji Mohd Rudy Izman mengucapkan penghargaannya kepada Badminton Asia atas subsidi tiket penerbangan dan tempat penginapan kepadanya.

    “Saya sangat berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Badminton Asia  kerana telah memilih Brunei salah satu negara membangun untuk mendapat subsidi tiket penerbangan dan tempat penginapan melalui PBKBD dan Majlis Paralimpik Brunei. 

    “Saya akan menghadiri kem latihan tersebut yang akan dikendalikan oleh jurulatih Awang Mohd Zuno dan rakan beliau dari Perancis seterusnya menyertai Kejohanan Badminton Paralimpik Antarabangsa anjuran bersama Bahrain Paralympic Committee dan Bahrain Badminton and Squash Federation dari 16 hingga 22 Mei ini,” jelas beliau.

    Tambahnya, beliau difahamkan kejohanan ini adalah salah satu kejohanan bagi pemain-pemain Para Badminton bertaraf dunia untuk mendapatkan poin bagi kelayakan BWF Para Badminton World Championship 2022 dan Para Olympic Paris 2024 yang dijadualkan akan mengambil tempat di Perancis.

    “Adalah diharapkan bahawa Brunei akan memberikan peluang kepada atlet para untuk lebih maju dan cemerlang dalam bidang sukan dengan menyertai kejohanan-kejohanan serantau dan antarabangsa,” jelas Haji Mohd Rudy Izman sambil memberikan saranan kepada semua atlet para atau mereka yang berminat akan terus menceburi bidang sukan yang diminati.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda