Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MEI – Seramai 120 orang pelajar Tahun 7 menyertai Kem Motivasi Sedetik Sejuta Perjalanan yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Perkampungan Sukan, Pulaie.
Kem motivasi berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Kaunseling dengan kerjasama Pusat Kerjasama Sains Teknologi dan Alam Sekitar (STEP), Unit Pendidikan Kerjaya (UPnK) dan Unit Kesejahteraan Pemimpin Sekolah dan Tenaga Pengajar (UKPSTP) serta Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei Darussalam (BRC) dan Majlis Belia Brunei (MBB).
Majlis Pembukaan Kem Motivasi Sedetik Sejuta Perjalanan itu telah disempurnakan oleh Pengarah Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Marina Chek binti Bujang, hari ini.
Dalam ucapan alu-aluan, Ketua Bahagian Kaunseling Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Abdul Ghafor menyatakan antara rasional mengadakan kem motivasi berkenaan adalah bagi menyemai semangat berpasukan, disiplin yang tinggi serta menjana etika bekerjasama dalam menjayakan sesuatu aktiviti.
Ia juga dapat membina ketahanan mental, fizikal, keyakinan diri, jati diri, membentuk keterampilan diri pelajar selaras dengan falsafah pendidikan negara, di samping mengetengahkan ciri-ciri pemimpin dan mengilap potensi para peserta.
Kem tersebut merupakan salah satu platform untuk melatih pelajar aspek ketahanan dan sikap yakin diri. Melalui kem itu, para pelajar bukan sahaja dikenal pasti antara yang mencapai kecemerlangan dalam akademik, tetapi juga cemerlang dalam sahsiah.
Salah satu kriteria pemilihan penyertaan ialah pelajar yang cemerlang pada peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2023.
Kem motivasi itu bermatlamat untuk memberikan pendedahan dan pengalaman mengenai pendidikan kemahiran di luar bilik darjah, meningkatkan semangat jati diri serta semangat perpaduan melalui pelbagai aktiviti pengintegrasian dan menyediakan platform untuk mereka berkongsi sama strategi dan cara menangani isu serta cabaran dalam pencapaian akademik.
Selain itu, ia diharap dapat menjadi landasan bagi perkongsian kemahiran, pengalaman dan amalan terbaik untuk bekalan anak bangsa yang akan menjadi pewaris, pemimpin dan mengekalkan Negara Brunei Darussalam yang tercinta supaya aman, sejahtera dan sentiasa di bawah lindungan Allah SWT.