KHAN YOUNIS, 5 NOV – Pesawat pejuang Israel menyerang kem pelarian di Semenanjung Gaza awal hari ini, mengorbankan sekurang-kurangnya 40 orang dan mencederakan berpuluh-puluh lagi, kata pegawai kesihatan.
Serangan itu berlaku ketika Israel berkata ia akan meneruskan serangannya untuk menumpaskan pemerintah Hamas wilayah itu, meskipun Amerika Syarikat (AS) merayu serangan dihentikan seketika untuk mendapatkan bantuan kepada orang awam yang terdesak.
Angka kematian yang meningkat di Gaza telah mencetuskan kemarahan antarabangsa yang semakin meningkat, dengan puluhan ribu penduduk dari Washington hingga ke Berlin turun ke jalan semalam untuk menuntut gencatan senjata segera.
Israel telah menolak idea untuk menghentikan serangannya, walaupun untuk tempoh singkat yang dicadangkan oleh Setiausaha Negara AS, Antony Blinken semasa lawatannya ke rantau itu.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata lebih 9,400 rakyat Palestin telah terbunuh di wilayah itu dalam peperangan hampir sebulan, dan jumlah itu mungkin meningkat apabila serangan diteruskan.
Kem pelarian Maghazi di tengah Gaza diserang semalaman, membunuh sekurang-kurangnya 40 orang dan mencederakan 34 yang lain, kata Kementerian Kesihatan.
Ia berkata anggota penyelamat dan penduduk masih menggali runtuhan, berharap dapat mencari mangsa yang terselamat.
Serangan berasingan hari ini meratakan sebuah bangunan berhampiran Hospital Al-Quds di Bandar Gaza, menurut perkhidmatan Bulan Sabit Merah Palestin. – AP