Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jun – Kementerian Pembangunan, petang tadi, telah mengadakan Majlis Tadarus Al-Quran, Tahlil dan Berbuka Puasa bagi Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya di Masjid Universiti Brunei Darussalam (UBD), Kampung Rimba.
Mengetuai rombongan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Ghafar.
Majlis dimulakan dengan penyerahan wakaf berupa dua unit dispensar air yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin kepada Imam Masjid UBD, Haji Jufri bin Haji Hidup.

Sejurus itu, Majlis Tadarus Al-Quran dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh Menteri Pembangunan dan seterusnya bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang juga dimulakan oleh Yang Berhormat Dato. Setelah itu, majlis diisikan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah.
Menteri Pembangunan dan rombongan kementeriannya turut berbuka puasa di masjid berkenaan sebelum menunaikan solat Fardu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh imam Masjid UBD.