Wednesday, February 19, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kem. Pembangunan juara futsal

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Kementerian Pembangunan muncul juara dalam kategori Terbuka Lelaki selepas mengalahkan Kementerian Pendidikan 3-1 dalam Kejohanan Futsal Sempena Hari Penjawat Awam ke-29 yang telah diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

    Pengiran Army Mazhisham menjaringkan dua gol untuk membantu pasukannya merebut kejuaraan, sementara Safwan Amaluddin bin Sabli menambah satu jaringan.

    Kementerian Pendidikan sebelum itu mengikat kedudukan seri 1-1 melalui Ahmad Hafiz yang memaksa perlawanan dibawa ke masa tambahan.

    Kapten pasukan Kementerian Pembangunan, Mohd Norazizam bin Roslan, yang juga Pemain Terbaik untuk kejohanan kali ini berkata, “Alhamdulillah, kejayaan kami adalah hasil kerja berpasukan. Ini adalah kali pertama kumpulan kami menang kejohanan.

    “Sebahagian daripada ahli pasukan pernah merasa kejayaan dalam kejohanan sebelum ini. Ini dapat membantu meningkatkan semangat pasukan.

    Gambar ramai Pasukan Kementerian Pembangunan bersama Timbalan Menteri di JPM.

    “Alhamdulillah, memenangi Anugerah Pemain Terbaik adalah satu usaha berpasukan dan bukannya usaha saya seorang. Ia adalah bonus untuk saya sebagai kapten pasukan.”

    Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) berkongsi tempat ketiga.

    Anugerah Penjaring Gol Terbanyak dimenangi oleh kepada Haji Mohd Ardi Farhan bin Haji Affendi dari MTIC dalam kategori Terbuka Lelaki.

    Sementara itu, Kementerian Pertahanan memenangi kategori Terbuka Veteran selepas mengalahkan KKBS dalam pusingan akhir yang ditentukan melalui sepakan penalti.

    Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) berkongsi tempat ketiga.

    Anugerah Pemain Terbaik jatuh kepada Abd Latif bin Haji Omar dari Kementerian Pertahanan. Manakala, Anugerah Penjaring Gol Terbanyak dimenangi oleh Shariful Rizal bin Haji Zainal dari KHEU.

    Timbalan Menteri di JPM, Dato Seri Paduka Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos hadir bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

    Kejohanan dianjurkan bersama oleh Jabatan Pentadbiran, KHEU dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda