Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Kementerian Pendidikan telah mengadakan Majlis Dikir Sempena Maulud Nabi Muhammad SAW yang berlangsung di Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad. Turut menghadiri majlis berkenaan ialah Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan serta Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan.
Majlis didahului dengan penyerahan sumbangan wakaf daripada pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan yang disempurnakan oleh Dr Haji Azman kepada Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan, Awang Sh’minan bin Haji Sulaiman dan diikuti dengan solat Fardu Maghrib berjemaah.



Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Dr Haji Azman sebagai permulaan bacaan Dikir Assalai.
Selepas menunaikan solat Fardu Isyak berjemaah, majlis diteruskan dengan bacaan Dikir Ashraqal dan diakhiri dengan Doa Penutup Majlis Dikir yang diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan.
Majlis itu merupakan salah satu aktiviti tahunan Kementerian Pendidikan untuk memeriahkan lagi suasana Sambutan Maulidur Rasul dengan berselawat dan memuji ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW bagi menunjukkan rasa kasih sayang dan kesyukuran atas jasa-jasa Baginda.
Di samping itu, majlis berkenaan juga bertujuan untuk sama-sama menyemarakkan lagi sambutan hari-hari kebesaran Islam di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara pegawai-pegawai dan kakitangan kementerian dengan jemaah masjid.
Majlis Dikir sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW anjuran Kementerian Pendidikan pada 2025, dikendalikan bersama oleh Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan, Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan serta Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP).
Semua di atas: Antara suasana semasa majlis dikir tersebut.

