Kem. Pendidikan semarak Sambutan Maulud Nabi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Perkembangan Kurikulum dan Jabatan Pengurusan Biasiswa telah mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi 1443H/2021M secara maya, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, majlis itu merupakan salah satu aktiviti tahunan kementerian dalam sama-sama menyemarakkan lagi sambutan hari-hari kebesaran Islam serta memeriahkan lagi suasana Sambutan Maulidur Rasul dengan berselawat dan memuji ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW bagi menunjukkan rasa kasih sayang terhadap jasa-jasa Baginda.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, setiausaha-setiausaha tetap, naib canselor Universiti Teknologi Brunei, rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), timbalan setiausaha tetap, pemangku ketua pengarah pendidikan, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan.

Majlis diserikan dengan tazkirah khas bertajuk ‘Rasulullah Kekasih Allah, Kekasihku Dunia Akhirat’ iaitu tema bagi Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara bagi Tahun 1443H/2021M, yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, UNISSA, Dr Haji Hambali bin Haji Jaili yang antara lain berkongsi perihal keperibadian Baginda Nabi Muhammad SAW sebagai contoh tauladan yang baik bagi sekalian manusia.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan bersama pegawai lain pada Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW secara maya, baru-baru ini. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan