Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan dengan kerjasama Urus Setia Majlis Pelajaran Kebangsaan dan Pusat Teknologi Maklumat hari ini meneruskan lagi Majlis Bertadarus sempena bulan Ramadan di Masjid Kampung Belimbing, Subok.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.
Acara dimulakan dengan penyampaian wakaf berupa peralatan elektrik yang disempurnakan oleh tetamu kehormat kepada Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pengiran Mohd Akbar bin Pengiran Haji Mohd Sabri, sebelum diikuti dengan majlis bertadarus. Majlis seumpamanya merupakan salah satu aktiviti tahunan Kementerian Pendidikan dan jabatan-jabatan di bawahnya bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan dan sebagai wadah dalam meningkatkan amal ibadat serta mengeratkan silaturahim sesama pegawai dan kakitangan.



