Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Kementerian Pertahanan telah mengadakan Majlis Malam Takbir sempena ketibaan Hari Raya Aidiladha bagi tahun 1444 Hijrah/2023 Masihi di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison, malam tadi.
Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, timbalan- timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai serta anggota-anggota Kementerian Pertahanan dan ABDB.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Isyak berjemaah yang diimamkan oleh Awang Khairol Azmi bin Haji Muhd Salleh, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan laungan takbir raya. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis ini merupakan acara tahunan Kementerian Pertahanan yang diadakan bagi sama-sama menyemarakkan Hari Raya Aidiladha di negara ini dengan memperbanyakkan takbir serta melakukan ibadah-ibadah sunat sebagai salah satu cara untuk menzahirkan rasa syukur di atas segala nikmat kurniaan Allah SWT.
Majlis yang sama juga telah diadakan secara serentak di seluruh surau garison, perkhemahan dan pangkalan ABDB termasuk di Masjid Pulau Baru-Baru.