Kem Pertahanan hulur sumbangan

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Dalam usaha untuk sama-sama membantu menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menyerahkan sumbangan bantuan sebanyak $43,200 kepada COVID-19 Relief Fund, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, sumbangan telah diterima oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar bagi pihak Kementerian Kesihatan pada majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di Kementerian Kesihatan.

Sumbangan daripada warga ABDB berjumlah $40,000 telah disampaikan oleh Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud manakala sumbangan daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Pertahanan berjumlah $3,200 telah disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah.

Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan menyampaikan sumbangan daripada warga ABDB kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan