Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Kementerian Pertahanan juga tidak ketinggalan mengadakan Majlis Ibadah Korban bersempena Hari Raya Aidiladha 1444 Hijrah di Dewan Serbaguna, Bolkiah Garison, hari ini, di mana tujuh ekor kerbau dikorbankan tahun ini.
Hadir bagi menyempurnakan pengagihan daging-daging korban ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, pemangku setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pegawai dan anggota Kementerian Pertahanan dan ABDB.
Turut diundang selaku tetamu jemputan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh; ketua-ketua kampung dan imam-imam dari sekitar kawasan berhampiran.
Acara dimulakan dengan Sayyidul Istigfar, diikuti dengan laungan Asmaul Husna dan Takbir Hari Raya yang diketuai oleh pegawai-pegawai agama dari Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT).
Kemudian, majlis diteruskan dengan pengagihan daging-daging korban, yang diiringi dengan Selawat Tafrijyyah, kepada seramai 100 penerima yang terdiri daripada asnaf dan penduduk berhampiran di Mukim Berakas A.
Dalam Surah At-Tawba (9:60), asnaf dikenal pasti sebagai lapan golongan masyarakat yang sepatutnya diagihkan zakat iaitu fakir, miskin, amil, mualaf, fisabilillah, al-gharimin, ibnu sabil dan riqab.
Majlis pada tahun ini menyasarkan agihan daging korban kepada seramai mungkin asnaf-asnaf yang menetap di kawasan berhampiran demi meraih keberkatan dan berkongsi kesyukuran dengan mereka yang memerlukan.