Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kem. Pertahanan meriahkan Ilal Hijrah 1445

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Sempena Ilal Hijrah 1445, Kementerian Pertahanan telah mengadakan majlis sambutan secara serentak di kesemua surau garison, pangkalan dan perkhemahan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) termasuk Masjid Pulau Baru-Baru dengan tumpuan utama di Surau Al-Fa’izun Berakas Garison.

    Hadir pada majlis di Surau Al Fai’zun Berakas Garison ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Majlis bertujuan untuk merapatkan hubungan ukhuwah bersama masyarakat setempat dan agensi-agensi kerajaan yang lain sebagai satu dorongan untuk memupuk semangat setiakawan di samping mengeratkan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian Pertahanan dengan semangat hijrah bagi memperolehi kejayaan dan kehidupan yang lebih baik.

    Sambutan disemarakkan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran diikuti dengan penyampaian ceramah khas bertajuk ‘Agama Dipelihara, Negara Sejahtera’ yang disampaikan oleh Dr Haji Harapandi Dahri dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

    Turut hadir pada majlis itu ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, pemangku setiausaha tetap, pemerintah-pemerintah angkatan tentera dan angkatan bersama ABDB, timbalan-timbalan setiausaha tetap berserta pegawai dan anggota Kementerian Pertahanan.

    Turut diundang selaku jemputan khas ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan; Ketua Kampung Lambak B, Pengiran Jofri bin Pengiran Haji Zaidi; Pemangku Ketua Kampung Lambak Kiri, Awangku Amirnur Aminuddin bin Pengiran Haji Mohd Salleh; Pemangku Ketua Kampung Lambak A, Haji Brahim bin Haji Abdul Rahman, wakil-wakil dari Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Penjara dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Selawat Badriyyah, zikir, serta sembahyang Sunat Dhuha dan Doa Selamatkan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menghadiri majlis berkenaan. – Gambar oleh Azlan Othman
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda