Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Kementerian Pertahanan telah mengadakan Majlis Sambutan Nisfu Syaaban 1446 Hijrah secara serentak di semua surau di Kementerian Pertahanan dan perkhemahan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) kelmarin, dengan tumpuan utama diadakan di Surau Al-Huda, Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Muara.
Hadir di majlis tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir, Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Haszaimi bin Bol Hassan, ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif ABDB, bersama dengan peringkat kepimpinan serta kakitangan dan anggota Kementerian Pertahanan dan ABDB.
Turut dijemput bagi sama-sama memeriahkan majlis tersebut ialah perwakilan dari Balai Polis Muara dan Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei, wakil dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Muara, Pemangku Penghulu Mukim Serasa, dan guru-guru Sekolah Rendah TLDB.
Majlis tersebut dimulakan dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah diikuti dengan bacaan Surah Yasin sebanyak tiga kali yang dipimpin oleh Imam Tingkat IV, Awang Afiq Abdul Halim bin Haji Daniel Alexander Iskandar Zulkarnain.
Majlis diteruskan dengan bacaan doa khas Nisfu Syaaban 1446 Hijrah dan diakhiri dengan sembahyang Fardu Isyak berjemaah yang dipimpin oleh Pekerja Tingkat Khas, Awangku Muhd Yadiy bin Pengiran Surfiddin.
Antara lain tujuan majlis tersebut adalah untuk menggalakkan warga Kementerian Pertahanan dan ABDB serta para jemputan yang hadir untuk mempertingkatkan amal ibadat, memohon keampunan dan keredaan daripada Allah SWT pada malam Nisfu Syaaban, malam yang penuh dengan keberkatan dan keistimewaan.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P3-Lead-Kem_15022025.jpg)