Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Kementerian Pertahanan menerima kunjungan rasmi daripada Setiausaha Pertahanan Negara Republik Filipina, The Honourable Gilberto C. Teodoro, Jr., hari ini.
Sejurus tiba di Kementerian Pertahanan, The Honourable Gilberto C. Teodoro, Jr. telah disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof dan seterusnya menerima tabik hormat serta memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota-anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB).

The Honourable Gilberto C. Teodoro, Jr. kemudiannya mengadakan kunjungan muhibah kepada Yang Berhormat Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi. Semasa kunjungan berkenaan, kedua-dua pihak menzahirkan rasa puas hati terhadap hubungan kerjasama pertahanan yang rapat dan sudah lama terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Filipina, yang terus diperkukuhkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pertahanan Bersama (Joint Defence Working Committee – JDWC) serta beberapa pertukaran lawatan yang aktif, eksesais ketenteraan, latihan dan kursus.


Turut hadir pada kunjungan berkenaan ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan.
Sementara itu delegasi Filipina terdiri daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R. Tirol-Ignacio dan Undersecretary for Defense Affairs, Undersecretary Angelito M. De Leon.
Lawatan rasmi sehari oleh Setiausaha Pertahanan Negara Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam merupakan sebahagian daripada lawatan ke negara-negara ASEAN bagi mempertingkatkan hubungan pertahanan.



